24
Tanda-tanda akhir zaman
Apabila Isa melangkah keluar dari rumah ibadat, para pengikut-Nya datang mendapatkannya lalu menunjukkan bangunan-bangunan rumah ibadat itu. Isa berkata kepada mereka, ‘Lihatlah semuanya ini! Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, satu batu pun tidak akan tinggal di tempatnya; semuanya akan dirobohkan.’
Ketika Isa duduk di atas Bukit Zaitun, para pengikut-Nya datang mendapatkan-Nya. Pada masa itu tiada orang lain di situ. Mereka bertanya, ‘Junjungan, beritahulah kami bila semuanya akan terjadi? Apakah tanda-tanda kedatangan-Mu dan akhir zaman?’
Isa menjawab, ‘Waspadalah, jangan terpedaya. Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah al-Masih!” Mereka akan menipu orang ramai. Kamu akan mendengar tentang peperangan dan desas-desus peperangan, tetapi jangan gentar. Itu semua mesti terjadi, tetapi bukanlah bererti akhir zaman sudah tiba. Bangsa akan bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan. Kebuluran dan gempa bumi akan berlaku di merata-rata. Segala ini cuma permulaan, ibarat sakit sebelum bersalin.
‘Setelah itu kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Semua orang akan membencimu kerana kamu pengikut-Ku. 10 Pada masa itu ramai pengikut-Ku yang tidak lagi beriman kepada-Ku. Mereka akan saling mengkhianati dan membenci. 11 Ramai nabi palsu akan tampil memperdaya orang ramai. 12 Kejahatan semakin merebak sehingga kasih sayang hampir luput dari hati manusia. 13 Namun, sesiapa yang bertahan ke saat akhir akan diselamatkan. 14 Injil tentang kerajaan Allah akan disebarkan ke seluruh pelosok bumi sebagai suatu kesaksian kepada semua bangsa. Selepas itu barulah tiba akhir zaman.
Seksaan yang besar
15 ‘Oleh itu, apabila kamu melihat “Kekejian yang membawa kebinasaan” yang disebut oleh Nabi Daniel di tempat suci (biarlah para pembaca memperhatikanya), 16 ketika itu orang yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. 17 Orang yang di atas bumbung ketika itu usahlah masuk ke rumah mengambil apa-apa. 18 Orang yang di ladang janganlah pulang mengambil jubah. 19 Sungguh dahsyat bagi ibu yang mengandung dan menyusui anak. 20 Berdoalah semoga kamu tidak terpaksa melarikan diri pada musim dingin atau hari Sabat. 21 Ketika itu akan berlaku kesengsaraan yang belum pernah berlaku sejak dunia dicipta sampai sekarang, dan yang tidak akan pernah berlaku lagi. 22 Kalaulah Allah tidak menyingkatkan masa itu, tiada seorang pun akan selamat. Namun, untuk umat pilihan-Nya, Allah menyingkatkan masa itu. 23 Pada masa itu, jika orang berkata kepadamu, “Lihat, al-Masih ada di sini!” atau “Dia ada di situ!” janganlah percaya. 24 Kerana beberapa al-masih palsu dan nabi palsu akan datang dengan pelbagai mukjizat serta keajaiban untuk menipu orang. Sebilangan umat pilihan Allah pun mungkin turut terpedaya. 25 Dengarlah! Aku memberitahumu semua ini sebelum terjadi.
26 ‘Jika orang berkata kepadamu, “Lihat! Dia ada di gurun!” janganlah kamu ke sana. Dan jika mereka berkata, “Dia ada di dalam bilik!” usahlah kamu percaya. 27 Sesungguhnya, Putera Insan akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur hingga ke barat. 28 Di mana ada mayat, di situlah berkerumunnya burung pemakan bangkai.
Kedatangan yang mulia
29 ‘Tidak lama selepas kesengsaraan masa itu,
“matahari akan gelap
dan bulan tidak bersinar lagi;
Bintang-bintang akan berguguran
dari langit, dan kuasa-kuasa
angkasa akan digoncang.”
 
30 ‘Tanda Putera Insan akan kelihatan di langit. Semua suku bangsa di bumi akan menangis melihat Putera Insan di awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang agung. 31 Sangkakala akan dibunyikan dengan kuatnya, dan Putera Insan akan menghantar malaikat-malaikat-Nya ke seluruh pelosok bumi untuk menghimpunkan umat pilihan Allah.
32 ‘Ambillah iktibar daripada pokok ara. Apabila dahannya hijau, lembut dan mula bertunas, kamu tahu musim panas hampir tiba. 33 Demikianlah apabila kamu melihat perkara-perkara ini, tahulah kamu bahawa waktunya sudah dekat, sudah di ambang pintu. 34 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, segala ini akan terjadi sebelum orang yang hidup hari ini mati semuanya. 35 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.
Nasihat supaya berjaga-jaga
36 ‘Namun demikian, tiada siapa yang mengetahui hari atau waktunya, baik para malaikat di syurga mahupun Putera. Hanya Bapa yang tahu. 37 Apabila Putera Insan datang, samalah nanti seperti zaman Nuh. 38 Sebelum banjir melanda, orang makan minum dan berkahwin, hinggalah waktu Nuh masuk ke bahtera. 39 Mereka tidak sedar apa yang berlaku hingga banjir memusnahkan mereka. Demikianlah kelak apabila Putera Insan datang. 40 Pada masa itu, antara dua orang yang sedang bekerja di ladang, seorang dibawa pergi dan seorang ditinggalkan. 41 Antara dua orang wanita yang sedang menggiling gandum, seorang akan dibawa manakala yang seorang lagi ditinggalkan.
42 ‘Berjaga-jagalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya Junjunganmu akan datang. 43 Ingatlah: Sekiranya tuan rumah mengetahui bila masanya pencuri akan datang, dia tidak akan tidur. Dia tidak akan membiarkan pencuri masuk ke rumahnya. 44 Kamu juga hendaklah sentiasa bersedia. Putera Insan akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.
45 ‘Siapakah hamba yang setia dan bijaksana? Dialah yang diamanahkan oleh tuannya menjadi pengurus rumahnya dan memberi makan kepada hamba yang lain pada waktu tertentu. 46 Bahagialah hamba itu jika dia didapati menjalankan tugas pada waktu tuannya kembali. 47 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tuan itu akan mengamanahkan segala harta bendanya kepada hamba itu. 48 Tetapi jika hamba itu durjana, dia akan berkata dalam hatinya, “Masih lama lagi masanya tuanku akan pulang.” 49 Dia pun memukul hamba-hamba yang lain, dan makan minum dengan kaki botol. 50 Tuan hamba itu akan kembali pada hari yang tidak disangkanya, dan pada waktu yang tidak diketahuinya. 51 Dia akan membunuh hamba itu dan membuangnya ke tempat orang munafik. Di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.