23
Isa mengecam orang Farisi
1 Isa berkata kepada orang ramai dan para pengikut-Nya: 2 ‘Guru Taurat dan orang Farisi menduduki kerusi Musa. 3 Oleh itu, patuhilah dan turutilah perintah yang diajarkan oleh mereka. Tetapi jangan contohi perbuatan mereka, kerana tidak selaras dengan ajaran mereka. 4 Mereka meletakkan beban yang berat dan sukar dipikul ke atas bahu orang, tetapi mereka langsung tidak mahu menolong orang memikul beban itu.
5 ‘Mereka melakukan sesuatu hanya untuk dilihat orang. Lihatlah betapa besarnya bekas ayat Kitab Suci yang diikatkan pada dahi dan lengan mereka, serta betapa panjangnya rumbai jubah mereka. 6 Mereka suka duduk di tempat terbaik di majlis jamuan dan kerusi khas di saumaah. 7 Mereka suka dihormati orang di pasar, dan suka dipanggil “Tuan Guru.”
8 ‘Janganlah suruh orang memanggilmu “Tuan Guru,” kerana kamu semua bersaudara dan Gurumu hanya satu. 9 Janganlah panggil sesiapapun di dunia ini “Bapa,” kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang di syurga. 10 Janganlah suruh orang memanggilmu “Pemimpin,” kerana pemimpinmu hanya satu, iaitu al-Masih. 11 Orang yang terbesar antaramu haruslah menjadi pelayanmu. 12 Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, dan orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.
13 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menghalang orang memasuki kerajaan syurga. Kamu bukan sahaja enggan memasuki kerajaan syurga; kamu halang pula orang lain yang berusaha untuk memasukinya. 14 Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menipu balu dan merampas rumahnya, kemudian pura-pura berdoa panjang. Oleh itu, kamu akan menerima hukuman yang lebih berat.
15 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu merentas lautan dan daratan untuk menarik seseorang menganut agamamu. Namun, setelah berjaya, kamu menjadikannya isi neraka yang dua kali lebih buruk daripadamu.
16 ‘Malanglah kamu, pemimpin yang buta! Kamu mengajar orang demikian, “Jika seorang bersumpah demi rumah ibadat, dia tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di dalam rumah ibadat, dia terikat pada sumpahnya.” 17 Hai orang bodoh dan buta! Yang mana lebih penting, emas atau rumah ibadat Allah yang menjadikan emas itu suci? 18 Kamu juga mengajar orang begini, “Jika seseorang bersumpah demi mazbah, dia tidak terikat pada sumpahnya; tetapi jika dia bersumpah demi persembahan di atas mazbah, dia terikat pada sumpahnya.” 19 Hai orang yang buta hati! Yang manakah lebih penting, persembahan atau mazbah yang menjadikan persembahan itu suci? 20 Ketahuilah apabila seseorang bersumpah demi mazbah, dia bersumpah demi mazbah dan demi segala persembahan di atasnya. 21 Apabila seseorang bersumpah demi rumah ibadat, dia bersumpah demi rumah ibadat itu dan demi Dia yang tinggal di situ. 22 Apabila seseorang bersumpah demi syurga, dia bersumpah demi takhta Allah dan demi Dia yang duduk di atas takhta itu.
23 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada pelbagai jenis rempah seperti selasih, adas manis dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mematuhi ajaran Taurat yang benar-benar penting seperti keadilan, belas kasihan dan kesetiaan. Kamu harus mengerjakan semua ini tanpa melalaikan ajaran yang lain. 24 Hai pemimpin yang buta! Agas kamu tapis, tetapi unta kamu telan.
25 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, sedangkan bahagian dalamnya penuh dengan hasil kekerasan dan kerakusanmu. 26 Hai orang Farisi yang buta hati! Bersihkan bahagian dalam cawan itu, bahagian luarnya akan bersih juga.
27 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu seperti kubur yang bercat putih: cantik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang dan mayat yang busuk. 28 Begitulah kamu! Pada lahirnya kamu orang yang benar, tetapi sebenarnya kamu durjana dan munafik.
29 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membina makam yang indah untuk nabi-nabi dan menghiasi kubur orang yang benar. 30 Kamu berkata, “Kalaulah kami hidup pada zaman nenek moyang kami dulu, tentu kami tidak akan mengikut perbuatan mereka yang menumpahkan darah para nabi.” 31 Jadi, kamu sendiri memberikan kesaksian bahawa kamu keturunan pembunuh nabi! 32 Kalau begitu, teruskan dan sempurnakanlah apa yang dimulakan oleh nenek moyangmu!
33 ‘Hai kamu seperti ular, bahkan kamu seperti ular berbisa! Bagaimana kamu dapat melepaskan diri daripada azab neraka? 34 Sesungguhnya Aku akan mengutus nabi, orang bijaksana dan guru kepadamu. Kamu akan membunuh dan menyalib mereka. Yang lain pula kamu sebat di dalam saumaah, dan buru dari kota ke kota. 35 Dengan demikian darah semua orang benar yang tertumpah di bumi akan ditanggungkan kepadamu: mulai daripada darah Habil yang tidak bersalah itu hingga kepada darah Zekaria anak Berekia, yang kamu bunuh di antara rumah ibadat dan mazbah. 36 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, semuanya itu akan ditanggungkan kepada keturunan zaman ini.
37 ‘Baitulmaqdis, Baitulmaqdis! Engkau membunuh nabi dan merejam utusan Allah! Sudah berapa kali aku ingin mendakap semua pendudukmu seperti ibu ayam menaungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi kamu tidak mahu. 38 Rumahmu akan ditinggalkan dan terbiar. 39 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mulai sekarang engkau tidak akan melihat-Ku lagi sehingga engkau berkata, “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.” ’