4
Tiada lagi perhambaan
Sekarang aku berkata bahawa waris, selagi dia masih kanak-kanak, tidak berbeza daripada hamba, walaupun dia tuan kepada segala miliknya. Dia di bawah kawalan para penjaga dan pengurus sehingga masa yang ditetapkan oleh bapanya. Demikianlah kita, ketika masih kanak-kanak, diperhamba menurut pelajaran peringkat awal dunia. Tetapi apabila sampai waktunya, Allah telah menghantar Putera-Nya, yang dilahirkan melalui seorang perempuan, di bawah hukum Taurat, untuk menebus mereka yang di bawah hukum itu, supaya kita mendapat hak sepenuh sebagai anak. Dan kerana kamu anak-anak-Nya, Allah telah menghantar Roh Putera-Nya ke dalam hatimu, Roh yang berseru, ‘Abba, Bapa.’ Dengan demikian kamu bukan lagi hamba tetapi anak; dan sebagai anak, Allah telah menjadikan kamu waris-Nya.
Paulus bimbang tentang orang Galatia
Dulu, ketika kamu belum mengenal Allah, kamu telah memperhambakan diri kepada dewa-dewa yang sebenarnya bukan tuhan. Tetapi sekarang, setelah kamu mengenal Allah – atau lebih tepat, dikenali Allah – mengapakah kamu berpaling semula kepada ajaran peringkat awal yang lemah dan serba kurang itu, dan ingin terbelenggu semula sebagai hamba kepadanya? 10 Kamu mematuhi hukum tentang hari, bulan, musim dan tahun! 11 Aku bimbang tentangmu, takut kalau-kalau aku berusaha untukmu dengan sia-sia.
12 Saudara-saudara, aku meminta supaya kamu menjadi sepertiku, kerana dulu aku pun seperti kamu. Kamu tidak pernah menganiayaku. 13 Kamu tahu bahawa kerana kedaifan jasmani, aku mula-mula mengajarkan Injil kepadamu. 14 Dan kamu tidak menghina atau menyingkirkan aku kerana cubaan jasmani yang kutanggung. Sebaliknya kamu telah menyambutku seperti malaikat Allah, malah seperti Isa al-Masih. 15 Betapakah berkat yang kamu nikmati ketika itu? Kerana aku bersaksi bahawa, kalau boleh, kamu rela mencungkil matamu sendiri dan memberikannya kepadaku. 16 Adakah aku telah menjadi seterumu kerana aku menyatakan yang benar kepadamu?
17 Mereka bersungguh-sungguh menawan hatimu, tetapi bukan dengan niat yang baik. Mereka hendak mengasingkan kamu, supaya kamu bersungguh-sungguh hendak menawan hati mereka. 18 Memang elok bersungguh-sungguh dalam perkara yang baik, dan bukan hanya ketika aku ada bersamamu. 19 Hai anak-anak kecilku, aku mengalami sengsara seperti hendak melahirkan kamu sekali lagi sehingga al-Masih terbentuk dalam dirimu. 20 Aku rindu hendak bersama kamu sekarang dan mengubah nada suaraku, kerana aku amat bimbang tentangmu!
Hagar dan Sarah
21 Katakan kepadaku, kamu yang ingin hidup di bawah hukum Taurat, tidakkah kamu dengar kata-kata hukum itu? 22 Tersurat bahawa Ibrahim mempunyai dua orang anak lelaki, seorang dengan hamba perempuan dan seorang lagi dengan perempuan merdeka. 23 Anak dengan hamba perempuan itu dilahirkan sebagaimana kebiasaan manusia; tetapi anak dengan perempuan merdeka itu dilahirkan kerana janji.
24 Ini adalah ibarat kerana dua perempuan itu mewakili dua perjanjian – satu daripada Gunung Sinai yang melahirkan anak-anak perhambaan, iaitu Hagar, 25 kerana Hagar adalah Gunung Sinai di tanah Arab, melambangkan Baitulmaqdis yang ada sekarang, dan berada dalam perhambaan bersama anak-anaknya. 26 Tetapi Baitulmaqdis yang di atas adalah merdeka, dan ia ibu kepada kita semua. 27 Kerana telah tersurat:
 
‘Bergembiralah, hai perempuan mandul,
kamu yang tidak melahirkan anak;
bersorak-sorailah,
kamu yang tidak pernah merasa sakit
melahirkan anak;
kerana perempuan yang sepi lara mempunyai
lebih ramai anak
daripada yang bersuami.’
 
28 Saudara-saudaraku, kita seperti Ishak, iaitu anak perjanjian. 29 Tetapi, sebagaimana anak yang dilahirkan menurut jasad telah menganiaya anak yang dilahirkan menurut Roh, begitulah yang berlaku sekarang. 30 Walau bagaimanapun, apakah yang dikatakan dalam Kitab Suci? ‘Singkirkan hamba perempuan itu dengan anaknya, kerana anak kepada hamba perempuan itu tidak akan menjadi waris bersama anak kepada perempuan merdeka.’ 31 Dengan demikian, saudara-saudara, kita bukanlah anak kepada hamba perempuan, tetapi kepada perempuan yang merdeka.