3
Diperbenar melalui iman
Wahai orang Galatia yang tidak berakal! Siapakah yang telah menyihirkan kamu sedangkan di hadapan matamu Isa al-Masih telah jelas ditunjukkan tersalib? Hanya ini yang ingin kuketahui daripadamu: Adakah kamu menerima Roh Suci kerana mengerjakan hukum Taurat, atau kerana percaya kepada Injil yang dikhabarkan? Di manakah akalmu? Setelah bermula dengan Roh, sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani? Adakah segala yang kamu deritai itu sia-sia sahaja – kalaulah sebenarnya sia-sia? Tuhan yang mengurniakan Roh-Nya kepadamu dan mengerjakan mukjizat di kalanganmu, adakah Dia melakukannya kerana kamu mengerjakan hukum Taurat, atau kerana kamu percaya Injil yang dikhabarkan?
Samalah sebagaimana Ibrahim: ‘Dia mempercayai Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai kebenaran.’ Oleh itu ketahuilah, hanya mereka yang beriman dianggap anak cucu Ibrahim. Oleh sebab telah diketahui bahawa Allah akan memperbenar bangsa asing melalui iman, Kitab Suci telah menyampaikan Injil itu kepada Ibrahim terlebih dahulu: ‘Melalui engkau, semua bangsa akan diberkati.’ Dengan demikian, semua orang yang beriman diberkati bersama Ibrahim yang beriman.
10 Setiap orang yang bergantung kepada usahanya sendiri mengerjakan hukum Taurat adalah terlaknat, kerana sudah tersurat: ‘Terlaknatlah mereka yang tidak terus-menerus melakukan segala yang tersurat dalam Hukum Kitab Taurat.’ 11 Jelaslah bahawa tiada siapapun diperbenar di sisi Allah dengan mengerjakan hukum Taurat, kerana, ‘Orang yang benar akan hidup dengan iman.’ 12 Hukum Taurat tidak berdasarkan iman; tetapi, ‘Orang yang melakukan hal-hal ini akan hidup dengannya.’ 13 Al-Masih telah menebus kita daripada laknat hukum Taurat itu dengan menanggung laknat itu untuk kita, kerana telah tersurat: ‘Terlaknatlah setiap orang yang tergantung pada kayu salib.’ 14 Dia menebus kita supaya berkat Ibrahim datang kepada bangsa asing melalui Isa al-Masih, dan kita menerima Roh yang dijanjikan itu melalui iman.
Hukum Taurat atau perjanjian
15 Saudara-saudara, aku hendak menggunakan contoh daripada hidup sehari-hari. Walaupun suatu perjanjian hanya antara manusia, namun setelah ditetapkan, tiada siapa harus memansuhkannya atau menolak-tambah padanya, begitulah juga hal ini. 16 Janji Allah telah dibuat kepada Ibrahim dan benihnya. Kitab Suci tidak menyebut ‘dan kepada benih-benih,’ dengan erti ramai orang, tetapi ‘dan kepada Benihmu,’ yang bererti seorang sahaja, iaitu al-Masih. 17 Aku berkata bahawa hukum Taurat, yang datang 430 tahun kemudian, tidak dapat memansuhkan perjanjian yang telah ditetapkan dahulu oleh Allah atau menjadikan janji itu tidak sah lagi. 18 Jika warisan itu daripada hukum Taurat, itu bukanlah lagi berdasarkan janji; tetapi Allah dalam kasih kurnia-Nya telah memberikannya kepada Ibrahim melalui janji.
19 Kalau begitu, apakah tujuan hukum Taurat? Hukum itu ditambahkan kerana pelanggaran manusia. Hukum itu berterusan sehingga datangnya Benih yang dijanjikan itu, dan hukum itu diberikan melalui malaikat oleh seorang pengantara. 20 Pengantara tidaklah menjadi pengantara bagi satu pihak sahaja; tetapi Allah itu Esa.
21 Jadi, adakah hukum Taurat itu berselisih dengan janji-janji Allah? Tidak sekali-kali! Kerana kalaulah ada hukum yang dapat memberikan kehidupan, tentulah kebenaran didapati melalui hukum itu. 22 Namun, Kitab Suci telah menentukan bahawa semuanya terbelenggu oleh dosa, supaya apa yang dijanjikan melalui iman dalam Isa al-Masih dapat diberikan kepada mereka yang percaya.
23 Sebelum datangnya iman, kita dikawal oleh hukum Taurat, dikurung sementara menantikan iman yang akan dinyatakan kelak. 24 Oleh itu, hukum Taurat adalah guru kita, yang membawa kita kepada al-Masih untuk dibenarkan oleh iman. 25 Tetapi selepas datangnya iman, kita tidak lagi di bawah pengawasan hukum Taurat.
Anak dan waris melalui al-Masih
26 Kamu semua telah menjadi anak Allah melalui iman terhadap Isa al-Masih. 27 Dan semua di antara kamu yang telah diimadkan dalam al-Masih telah meliputi dirimu dengan al-Masih. 28 Tiadalah lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Isa al-Masih. 29 Dan jika kamu milik al-Masih, kamu adalah benih Ibrahim, dan menjadi waris menurut janji itu.