9
1 Tentang pemberian bantuan kepada orang salih, aku tidak perlu menulis kepadamu, 2 kerana aku tahu kesediaanmu. Malah aku berbangga tentangmu di hadapan orang Makedonia dengan berkata bahawa Akhaya sudah siap memberi sejak tahun lalu; semangatmu telah banyak memberikan perangsang. 3 Aku mengutus saudara-saudara kita itu supaya kebanggaan kami terhadapmu dalam hal ini tidak sia-sia. Oleh itu, kamu hendaklah benar-benar siap sedia, seperti yang telah kukatakan kepada mereka. 4 Kalau ada orang Makedonia yang datang bersama aku dan mereka mendapati kamu belum siap, maka kami (tentulah juga kamu!) akan berasa malu, kerana kami begitu yakin. 5 Dengan demikian aku telah meminta saudara-saudara kita pergi terlebih dahulu menemui kamu dan mengatur pemberian yang telah kamu janjikan itu; biar pemberian itu terkumpul dari kemurahan hatimu, bukan kerana terpaksa.
Menyemai banyak
6 Ingatlah firman ini: Orang yang menyemai sedikit akan menuai sedikit, dan orang yang menyemai banyak akan menuai banyak. 7 Masing-masing hendaklah memberi setulus hati, jangan dengan rasa enggan atau terpaksa, kerana Allah meredai orang yang memberi dengan gembira. 8 Allah berkuasa melimpahkan kasih kurnia-Nya kepadamu, supaya kamu dapat memenuhi segala keperluanmu dan berlebihan pula untuk amal kebajikan. 9 Sebagaimana tersurat,
‘Dia telah menaburkan kurnia-Nya
merata-rata di kalangan orang miskin,
Kebenaran-Nya kekal selama-lamanya.’
10 Allah telah menyediakan benih untuk disemai dan roti untuk dimakan. Semoga Allah melipatgandakan benih yang telah kamu semai dan memperbanyak buah hasil kebenaran, 11 serta memperkaya kamu dalam segala hal, sehingga kamu dapat terus-menerus bermurah hati. Pemberianmu yang disampaikan melalui kami akan menimbulkan rasa syukur kepada Allah.
12 Kerana pekerjaan mulia yang sedang kita usahakan ini bukan sahaja akan menampung kekurangan orang salih, tetapi juga menyebabkan banyak orang mengucap syukur kepada Allah. 13 Melalui pekerjaan mulia ini, kamu membuktikan imanmu dan mereka memuliakan Allah kerana melihat kesetiaan pengakuanmu terhadap Injil al-Masih serta kemurahan hati yang kamu tunjukkan dengan pemberian kepada mereka dan semua orang. 14 Mereka berdoa untukmu dan ingin berdamping denganmu kerana kasih kurnia Allah yang melebihi segala-galanya memenuhi dirimu. 15 Segala puji dan syukur kepada Allah kerana kurnia-Nya yang tidak terperikan.