10
Peringatan dari sejarah Israel
Saudara-saudaraku, aku ingin mengingatkan kamu bahawa nenek moyang kita berada di bawah awan, dan semuanya menyeberangi Laut Merah. Mereka semua diimadkan di dalam awan dan laut itu untuk menjadi pengikut Musa. Mereka makan makanan rohani yang sama dan minum minuman rohani yang sama dari batu rohani yang menyertai mereka, dan batu rohani itu adalah al-Masih sendiri. Namun demikian, Allah tidak meredai kebanyakan daripada mereka, maka mayat mereka bergelimpangan di gurun.
Semua ini menjadi contoh kepada kita supaya kita tidak ingin akan kejahatan seperti mereka dahulu; dan supaya kita tidak menyembah berhala seperti sebilangan daripada mereka. Telah tersurat, ‘Umat itu mula makan minum dan menari untuk menyembah berhala.’ Janganlah kita berkelakuan cabul seperti sesetengah mereka. Akibat perbuatan itu, dua puluh tiga ribu orang mati dalam sehari. Janganlah kita cubai Tuhan seperti yang dilakukan oleh sebilangan daripada mereka. Akibatnya mereka mati dipagut ular berbisa. 10 Janganlah kita bersungut seperti sesetengah mereka, sehingga nyawa mereka dicabut Malaikat Maut.
11 Semua yang terjadi kepada mereka merupakan suatu iktibar, dan telah ditulis untuk menjadi amaran kepada kita yang hidup pada akhir zaman. 12 Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri tegap, berhati-hatilah supaya tidak jatuh. 13 Setiap cubaan yang kamu alami memang biasa dihadapi orang. Tetapi Allah setia menepati janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai melebihi kekuatanmu. Sewaktu kamu dicubai, Allah akan memberimu jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan menanggungnya.
14 Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, jauhkanlah diri daripada penyembahan berhala. 15 Aku berkata-kata kepadamu seperti kepada orang bijaksana. Fikirkanlah masak-masak. 16 Bukankah cawan kesyukuran yang kita berkati itu menunjukkan kita sama-sama mengambil bahagian dalam darah al-Masih? Bukankah roti yang kita pecah-pecahkan itu menunjukkan kita sama-sama mengambil bahagian dalam tubuh al-Masih? 17 Walaupun kita ramai, kita semua merupakan satu tubuh, kerana kita makan roti yang satu itu bersama-sama.
18 Perhatikan orang Yahudi: Bukankah mereka yang makan makanan yang dipersembahkan di atas mazbah itu bersama-sama mengambil bahagian dalam penyembahan? 19 Adakah maksudku bahawa berhala, atau makanan yang dipersembahkan kepada berhala, tidak bererti apa-apa? 20 Tidak! Apa yang dipersembahkan di atas mazbah berhala bukanlah persembahan kepada Allah tetapi kepada roh-roh iblis. Aku tidak mahu kamu terlibat dengan roh-roh iblis. 21 Kamu yang tidak dapat minum daripada cawan Tuhan, minum pula daripada cawan roh iblis. Kamu yang tidak dapat makan di meja Tuhan, makan pula di meja roh iblis. 22 Bukankah kita yang membuat Tuhan cemburu sekiranya kita berbuat demikian? Adakah kita lebih kuat daripada Tuhan?
Kebebasan orang beriman
23 Kita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya berfaedah; kita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya membina hidup. 24 Janganlah lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri saja. Lakukanlah untuk kepentingan orang lain juga.
25 Kamu boleh makan apa saja yang dijual di pasar daging. Jangan tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu; 26 kerana ‘Bumi ini dan segala yang di dalamnya milik Tuhan.’
27 Jika kamu diajak makan oleh seorang yang tidak beriman dan kamu menerima, makanlah apa-apa yang dihidangkan. Usah tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu. 28 Tetapi jika seseorang memberitahumu, ‘Makanan ini telah dipersembahkan kepada berhala’, janganlah makan makanan itu, demi kebaikan orang itu, dan demi hati nurani. 29 Maksudku bukan hati nuranimu, tetapi hati nurani orang itu. Mungkin ada yang bertanya, ‘Mengapa pula kebebasanku harus kubatasi untuk hati nurani orang lain? 30 Jika aku telah mengucap syukur kepada Allah atas makanan itu, mengapa orang harus mengecamku?’
31 Setiap yang kamu lakukan, baik makan mahupun minum, lakukanlah untuk memuliakan Allah. 32 Jagalah tingkah lakumu, jangan sampai menyebabkan orang lain berdosa, baik orang Yahudi, bukan Yahudi, mahupun jemaah Allah. 33 Ikutlah teladanku. Dalam setiap yang kubuat, aku cuba menyukakan hati semua orang. Aku tidak melebihkan kepentingan diriku. Aku mengutamakan kepentingan orang lain, untuk menyelamatkan mereka.