Pertanyaan tentang hari Sabtu
6 Pada hari Sabtu Isa berjalan melalui ladang-ladang gandum dan pengikut-pengikut-Nya memetik bulir gandum, menggosoknya dengan tangan lalu dimakan mereka. 2 Beberapa orang Farisi berkata kepada mereka, "Mengapakah kamu membuat sesuatu yang dilarang pada hari Sabtu?" 3 Isa menjawab, "Belumkah kamu membaca tentang apa yang dilakukan oleh Daud tatkala dia dan pasukannya berasa lapar? 4 Dia masuk ke dalam Bait Suci lalu mengambil dan memakan Roti Persembahan lalu diberikannya kepada mereka yang bersama-Nya. Roti Persembahan itu dilarang dimakan kecuali oleh imam-imam sahaja." 5 Isa menambah, "Anak manusia berkuasa atas hari Sabtu."
Orang yang tangannya lumpuh sebelah
6 Pada suatu hari Sabtu yang lain, Isa masuk ke dalam balai sembahyang lalu mengajar orang. Terdapat di situ seorang yang lumpuh tangan kanannya. 7 Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi mengawasi Isa untuk melihat sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabtu kerana mereka hendak mencari alasan untuk menuduh-Nya. 8 Isa mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada orang yang lumpuh tangan kanannya, "Bangunlah dan berdiri di sini." Orang itu pun bangun dan berdiri di situ. 9 Isa berkata kepada mereka, "Aku bertanya kepadamu apa yang dibenarkan oleh hukum kita untuk dilakukan pada hari Sabtu. Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan nyawa orang atau membinasakannya?" 10 Isa memandang sekeliling mereka lalu berkata kepada orang itu, "Hulurkanlah tanganmu." Orang itu berbuat demikian dan tangannya pun sembuh. 11 Tetapi mereka naik berang lalu berbincang sesama diri tentang apa yang harus dibuat mereka terhadap Isa.
Isa memilih dua belas orang utusan
12 Pada masa itu Isa naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Semalam-malaman Dia berdoa kepada Allah. 13 Setelah hari siang, Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya dan daripada antara mereka itu, Dia memilih dua belas orang yang digelar-Nya utusan: 14 Simun yang dinamakan-Nya Petrus, dan Andrias adiknya, Yakub dan Yahya, Filipus dan Bar-Tolmai, 15 Matius dan Tomas, Yakub bin Halfi, Simun yang disebut Zelotes, 16 Yudas bin Yakub, dan Yudas Iskariot yang menjadi pembelot.
Isa mengajar dan menyembuhkan penyakit
17 Isa turun bersama-sama dengan mereka lalu berdiri di suatu tempat yang rata dengan banyak pengikut-Nya. Banyak orang dari seluruh jajahan Judea, dari Baitulmuqaddis dan dari wilayah-wilayah Tirus serta Sidon telah datang untuk mendengar Isa dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. 18 Orang yang dirasuk roh jahat turut datang dan mereka juga disembuhkan. 19 Semua orang cuba menyentuh Isa kerana kuasa sedang keluar daripada-Nya untuk menyembuhkan mereka semua.
Kebahagiaan dan penderitaan
20 Isa berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya lalu berkata,
"Berbahagialah kamu yang miskin kerana kamulah yang empunya kerajaan Allah. 21 Berbahagialah kamu yang lapar sekarang kerana kamu akan dikenyangkan. Berbahagialah kamu yang menangis sekarang, kerana kamu akan bersukaria. 22 Berbahagialah kamu apabila orang membenci kamu, menyingkir kamu, menghina kamu dan mengutuk kamu kerana Anak manusia; 23 bersukarialah apabila perkara itu berlaku dan melonjak keriangan, kerana besar pahalamu di syurga kelak. Demikian juga perbuatan nenek moyang mereka terhadap nabi-nabi. 24 Tetapi alangkah besar kecelakaan kamu yang kaya, kerana kamu telah beroleh hidup yang senang-lenang. 25 Alangkah besar kecelakaan kamu yang sekarang kenyang, kerana kamu akan lapar kelak. Alangkah besar kecelakaan kamu yang sekarang tertawa, kerana kamu akan menangis dan meratap kelak. 26 Alangkah besar kecelakaan kamu apabila kamu dipuji semua orang, kerana demikian juga perbuatan nenek moyang mereka kepada nabi-nabi palsu.
Kasih kepada musuh
27 "Tetapi kepada kamu yang mendengar, Aku berkata demikian; kasihilah seterumu, berbuat baik kepada orang yang membencikan kamu; 28 rahmatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu. 29 Jika orang menampar pipimu di sebelah, biarlah dia menampar sebelah lagi; jika ada orang mengambil jubah kamu, biarkan dia ambil bajumu juga. 30 Berilah setiap orang yang meminta sesuatu daripadamu dan jika sesiapa mengambil barangmu, jangan tuntut balik barang itu. 31 Berbuatlah kepada orang lain seperti yang kamu ingin mereka buat untuk kamu.
32 "Jikalau kamu mengasihi orang yang mengasihi kamu, apakah kelebihanmu? Malah, orang jahat pun mengasihi orang yang mengasihi mereka. 33 Dan jikalau kamu membalas baik kepada orang yang berbuat baik kepadamu, apakah kelebihanmu? Orang jahat pun berbuat begitu. 34 Jikalau kamu meminjami orang yang kamu harap akan memulangkannya, apakah kelebihanmu? Orang jahat pun meminjami orang jahat untuk mendapatkan kembali sama banyaknya. 35 Tetapi kamu hendaklah mengasihi seterumu; kamu hendaklah berbuat baik kepadanya dan kamu hendaklah meminjami orang dengan tidak mengharapkan apa-apa. Besarlah pahalamu kelak dan kamu akan menjadi anak Allah Yang Maha Tinggi kerana Dia berbuat baik kepada orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang yang jahat. 36 Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang juga berbelas kasihan.
Menghakimi orang
37 "Janganlah kamu hakimi orang supaya kamu tidak akan dihakimi oleh Tuhan. Janganlah kamu hukum orang supaya kamu tidak dihukum oleh Tuhan. Ampunilah orang dan kamu akan diampuni oleh Tuhan. 38 Berilah kepada orang lain dan Tuhan juga akan memberi kepada kamu. Bahkan Tuhan akan mencurahi kamu dengan pemberian yang berlimpahan. Sukatan yang kamu gunakan itu akan digunakan oleh Allah terhadap kamu."
39 Kemudian Isa memberitahu suatu ibarat. "Bolehkah orang buta memimpin orang buta? Bukankah kedua-duanya akan jatuh ke dalam longkang? 40 Seorang murid tidak lebih besar daripada gurunya; tetapi setiap murid yang tamat pelajarannya akan menyerupai gurunya.
41 "Mengapakah engkau memandang selumbar yang ada di dalam mata saudaramu, tetapi engkau tidak menyedari sebatang kayu yang ada di dalam matamu sendiri? 42 Bagaimanakah engkau dapat berkata kepada saudaramu, Saudara, biarlah saya keluarkan selumbar itu daripada matamu sedangkan engkau tidak nampak sebatang kayu yang ada di dalam matamu sendiri? Munafik! Buangkan kayu itu daripada matamu sendiri dahulu, barulah engkau dapat melihat dengan terang untuk mengeluarkan selumbar yang ada di dalam mata saudaramu.
Pokok dan buahnya
43 "Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik. 44 Tiap-tiap pokok dikenal daripada buahnya. Orang tidak memetik buah ara daripada pokok duri atau buah anggur daripada semak duri. 45 Orang yang baik mengeluarkan perkara yang baik daripada hati yang berlimpah-limpah dengan kebaikan; orang yang jahat mengeluarkan perkara yang jahat daripada hati yang penuh dengan kejahatan. Seseorang akan meluahkan apa yang terkandung di dalam hatinya.
Dua orang pembina rumah
46 "Mengapakah kamu memanggil Aku Rabbi, Rabbi, tetapi tidak mematuhi perintah-Ku? 47 Aku akan menunjukkan kepadamu keadaan orang yang datang kepada-Ku dan mendengar serta mentaati kata-kata-Ku. 48 Dia umpama seorang yang membina rumah. Dia menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah itu di atas batu. Apabila banjir berlaku, arus dari sungai akan melanda rumah itu tetapi tidak dapat menggoncangkannya kerana rumah itu didirikan dengan kukuh. 49 Akan tetapi, orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak mahu mematuhinya umpama seorang yang membina rumah di atas tanah tanpa asas. Apabila banjir berlaku, rumah itu akan roboh dengan dahsyatnya sekali.