Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya yang pertama
5 Pada suatu kali semasa Isa berdiri di tepi pantai tasik Genesaret, banyak orang berasak-asak untuk mendengar firman Allah. 2 Dia melihat dua buah perahu di situ. Orang yang menangkap ikan telah turun dari perahu itu untuk membasuh jala mereka. 3 Isa naik ke dalam salah sebuah perahu, iaitu perahu Simun dan memintanya menolak perahu itu jauh sedikit dari pantai. Isa duduk dan mengajar orang ramai dari perahu itu.
4 Setelah Dia habis mengajar, Dia berkata kepada Simun, "Tolaklah perahu ke air yang dalam dan tebarkan jalamu untuk menangkap ikan." 5 Simun menjawab,"Tuan, semalam-malaman kami cuba sedaya upaya tetapi tidak dapat menangkap apa-apa. Tetapi, jikalau Tuan menyuruh, saya akan menebarkan jala." 6 Setelah menebarkan jala, mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala hampir terkoyak. 7 Mereka memanggil rakan-rakan dari perahu lain itu supaya mereka datang menolong. Mereka datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu-perahu itu hampir tenggelam. 8 Apabila Simun Petrus melihat apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Isa dan berkata, "Tinggalkan hamba, ya Rabbi, kerana hamba seorang yang berdosa!" 9 Simun dan semua orang yang bersama-sama dengannya takjub melihat begitu banyak ikan yang dapat ditangkap mereka. 10 Begitu juga Yakub dan Yahya, anak-anak Zabdi, rakan-rakan Simun. Isa berkata kepada Simun, "Jangan takut! Mulai sekarang, engkau akan memujuk manusia menjadi pengikut Aku!" 11 Setelah mereka menyadaikan perahu-perahu itu, mereka meninggalkan semuanya lalu mengikut Isa.
Isa menyembuhkan seorang yang berpenyakit kusta
12 Pada suatu kali Isa berada di sebuah bandar. Terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Apabila dia melihat Isa, dia meniarap lalu memohon kepada-Nya, "Tuan, jikalau Tuan mahu, Tuan berkuasa untuk menyembuhkan saya." 13 Lalu Isa pun menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh dia sambil berkata, "Saya mahu. Sembuhlah engkau!" Seketika itu juga, penyakit kustanya hilang. 14 Isa berpesan kepadanya, "Jangan beritahu hal ini kepada sesiapa pun melainkan pergi tunjukkan dirimu kepada imam dan persembahkan suatu korban untuk penyembuhanmu, seperti yang ditetapkan oleh Musa untuk membuktikan kepada semua orang bahawa engkau kini sudah sembuh." 15 Akan tetapi, perkhabaran tentang Isa tersebar lebih meluas dan banyak orang datang untuk mendengar ajaran-Nya dan memohon-Nya menyembuhkan penyakit mereka. 16 Tetapi Isa kerapkali pergi ke tempat yang sunyi untuk berdoa.
Isa menyembuhkan seorang yang lumpuh
17 Pada suatu hari ketika Isa mengajar orang, ada beberapa orang Farisi dan ahli Taurat duduk di situ. Mereka telah datang dari setiap bandar di jajahan Galilea dan Judea dan juga dari Baitulmuqaddis. Kuasa Allah ada pada Isa untuk menyembuhkan orang. 18 Beberapa orang mengusung seorang yang lumpuh dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Isa. 19 Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke bumbung rumah lalu membuka genting untuk menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Isa. 20 Apabila Isa melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Saudara, dosa-dosamu diampunkan." 21 Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi mula berkata sesama diri, "Siapakah orang ini yang menghina Allah? Siapakah yang dapat mengampunkan dosa kecuali Allah sahaja?" 22 Tetapi Isa mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, "Mengapakah kamu memikirkan perkara sedemikian? 23 Yang manakah lebih mudah? mengatakan Dosa-dosamu diampunkan atau Bangunlah dan berjalan? 24 Tetapi, supaya kamu ketahui bahawa Anak manusia berkuasa di bumi ini untuk mengampunkan dosa, " Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkat tikar engkau dan pulang ke rumah!" 25 Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar di mana dia berbaring tadi lalu pulang dan memuji Allah. 26 Semua orang tercengang-cengang dan memuji Allah dengan perasaan takut sambil berkata, "Pada hari ini kami sudah menyaksikan hal yang ajaib!"
Isa memanggil Lewi
27 Kemudian Isa keluar dan nampak seorang pemungut cukai yang bernama Lewi sedang duduk di tempat orang membayar cukai. Isa berkata kepadanya, "Ikutlah Aku!" 28 Lewi bangun, meninggalkan semuanya dan mengikut Isa.
29 Lewi menyediakan suatu jamuan besar untuk Isa di rumahnya. Ada banyak pemungut cukai dan orang lain yang turut duduk bersama-sama dengan mereka. 30 Orang Farisi dan ahli-ahli Taurat yang semazhab bersungut-sungut kepada pengikut-pengikut Isa, "Mengapakah kamu makan dan minum bersama-sama dengan pemungut-pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?" 31 Isa menjawab, "Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukan orang sihat. 32 Aku bukannya datang untuk memanggil orang yang benar melainkan orang berdosa supaya mereka bertaubat."
Pertanyaan tentang puasa
33 Mereka berkata kepada Isa, "Pengikut-pengikut Yahya kerapkali berpuasa dan memanjatkan doa. Demikian juga pengikut-pengikut orang Farisi. Tetapi pengikut-pengikut-Mu ini makan dan minum sahaja." 34 Isa menjawab, "Dapatkah tetamu-tetamu pengantin lelaki diminta berpuasa selagi pengantin lelaki itu ada bersama-sama? 35 Tetapi selepas pengantin lelaki itu diambil daripada mereka, baharulah mereka akan berpuasa."
36 Isa memberitahu juga suatu ibarat kepada mereka, "Tiada sesiapa pun yang mengoyak secarik kain daripada pakaian yang baru untuk menampalkannya kepada pakaian lama. Jikalau demikian, pakaian yang baru itu pun koyak dan secarik kain yang baru itu tidak sepadan dengan yang lama. 37 Tiada sesiapa juga yang akan menuang air anggur yang baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Jikalau demikian, air anggur yang baru itu akan mengoyakkan kirbat kulit itu, lalu air anggur di dalamnya akan tumpah dan kirbat kulit itu pun rosak. 38 Tetapi air anggur yang baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru. 39 Dan tiada sesiapa pun gemar minum air anggur yang baru selepas dia minum air anggur yang lama. Dia berkata, Yang lama itu lebih baik."