Persembahan seorang balu
21 Isa memandang ke sekeliling lalu nampak orang kaya memasukkan wang persembahan mereka ke dalam peti persembahan di Bait Suci. 2 Dia nampak juga seorang balu yang sangat miskin memasukkan dua keping mata wang tembaga. 3 Lalu Isa berkata, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa balu yang miskin ini telah memasukkan lebih banyak daripada semua yang lain, 4 kerana yang lain memasukkan persembahan daripada kemewahan masing-masing tetapi perempuan ini walaupun sangat miskin, telah memasukkan seluruh nafkahnya."
Isa berkata tentang robohnya Bait Suci
5 Beberapa orang berkata-kata tentang Bait Suci yang begitu indah kerana dihiasi dengan batu-batu permata dan semua barang yang dipersembahkan kepada Allah. 6 Isa pun berkata, "Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan dan tiada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya."
Kesusahan dan penganiayaan
7 Mereka bertanya kepada Isa, "Guru, bilakah semua perkara ini akan terjadi? Apakah tanda-tandanya bahawa masanya sudah tiba?"
8 Isa berkata, "Berjaga-jagalah supaya kamu tidak terpedaya oleh orang. Banyak orang akan datang mengakui diri sebagai Al Masih dengan berkata, Akulah dia dan Masanya sudah tiba. Janganlah kamu ikut mereka. 9 Apabila kamu mendengar tentang peperangan dan pemberontakan, janganlah kamu ketakutan. Peristiwa-peristiwa ini akan berlaku terlebih dahulu tetapi ini tidaklah bererti bahawa akhir zaman telah sampai." 10 Kemudian Isa berkata kepada mereka, "Bangsa akan berperang dengan bangsa dan kerajaan dengan kerajaan; 11 gempa bumi dan kebuluran serta wabak yang dahsyat akan terjadi di beberapa tempat. Perkara-perkara dahsyat dan tanda-tanda yang hebat akan kelihatan di langit.
12 "Tetapi sebelum segala perkara yang disebut ini berlaku, kamu akan ditawan oleh orang dan dianiayai oleh mereka. Kamu akan didakwa di majlis balai-balai sembahyang dan dipenjarakan. Kamu akan didakwa di hadapan raja-raja dan gabenor-gabenor disebabkan kesetiaanmu kepada-Ku. 13 Inilah peluang bagimu untuk memberitakan perkhabaran baik. 14 Jadi, teguhkanlah hatimu supaya jangan kamu bimbang bagaimana hendak membela diri 15 kerana Aku akan memberimu kata-kata dan kebijaksanaan yang tidak dapat dinafikan oleh seorang pun daripada musuh-musuhmu. 16 Kamu akan diserahkan oleh ibu bapamu, adik-beradikmu, sanak saudaramu dan sahabat handaimu. Mereka akan membunuh beberapa orang antara kamu 17 dan kamu akan dibenci oleh semua kerana Aku. 18 Tetapi sehelai rambutmu pun tidak akan hilang, 19 Bertahanlah, keteguhan hatimu akan menyelamatkan kamu.
Isa memperkatakan keruntuhan Baitulmuqaddis
20 "Apabila kamu melihat kota Baitulmuqaddis terkepung oleh tentera-tentera, ketahuilah kamu bahawa kebinasaannya telah hampir. 21 Pada masa itu mereka yang ada di jajahan Judea hendaklah melarikan diri ke kawasan perbukitan; mereka yang ada di dalam kota hendaklah meninggalkannya dan mereka yang ada di luar kota janganlah masuk ke kota itu. 22 Inilah hari-hari hukuman apabila segala perkara yang tertulis dalam Kitab Suci akan terjadi. 23 Alangkah dahsyatnya bagi perempuan yang mengandung atau ibu yang menyusui anak pada masa itu! Kesengsaraan yang teruk akan menimpa bumi dan murka Allah akan menimpa bangsa ini. 24 Mereka akan dibunuh dengan pedang dan ada pula yang akan dibawa ke negeri lain sebagai orang tawanan. Kota Baitulmuqaddis akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa asing sehingga tamat tempoh yang ditetapkan oleh Allah untuk mereka.
Kedatangan Anak Manusia
25 "Beberapa tanda akan kelihatan pada matahari, bulan dan bintang-bintang. Di muka bumi ini semua bangsa akan putus asa dan takut akan deru serta gelora lautan. 26 Sementara menantikan apa yang akan datang ke muka bumi, manusia akan jatuh pengsan kerana ketakutan. Cakerawala di angkasa lepas akan terpesong daripada peredarannya. 27 Lalu mereka akan melihat Anak Manusia datang dikelilingi awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. 28 Apabila segala perkara ini mula terjadi, teguhkanlah hatimu dan dongakkan kepalamu kerana masa penyelamatanmu telah hampir tiba."
Pengajaran daripada pokok ara
29 Isa menceritakan suatu ibarat kepada mereka. "Tengoklah pokok ara dan segala pokok kayu yang lain! 30 Apabila pokok itu mula berdaun, kamu tahu bahawa musim panas hampir tiba. 31 Demikian juga apabila kamu melihat segala perkara ini terjadi, ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.
32 "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sebelum orang pada zaman ini mati, segala perkara itu akan terjadi. 33 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku berkekalan.
Perlunya berjaga-jaga
34 "Berjaga-jagalah! Janganlah leka dengan kegelojohan dan kemabukan serta kekhuatiran terhadap kehidupan ini sehingga kamu tidak bersedia menghadapi hari itu yang datang dengan tidak disangka-sangka. 35 Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua manusia di seluruh muka bumi ini. 36 Kamu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu diteguhkan untuk menghadapi segala perkara yang akan terjadi itu lalu dapat berdiri di hadirat Anak Manusia."
37 Pada siang hari Isa mengajar di dalam Bait Suci. Pada waktu petang Dia keluar dari kota itu dan bermalam di Bukit Zaitun. 38 Pada pagi-pagi lagi orang ramai pergi ke Bait Suci untuk mendengar Dia.