Pertanyaan tentang kuasa Isa
20 Pada suatu hari ketika Isa mengajar orang ramai di dalam Bait Suci dan memberitakan perkhabaran yang baik, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan pemimpin-pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada Isa. 2 Mereka berkata kepada-Nya, "Katakanlah kepada kami atas kuasa siapa Tuan laksanakan segala perkara ini. Siapakah yang memberikan kuasa ini kepada Tuan?" 3 Isa menjawab, "Aku juga hendak bertanya kepadamu suatu perkara. Katakanlah kepada-Ku 4 pembaptisan Yahya itu datang daripada siapa, Tuhan atau manusia?" 5 Mereka berbincang sesama diri, "Jikalau kita katakan daripada Tuhan, Dia akan berkata, Jikalau begitu, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya? 6 Sebaliknya, jikalau kita katakan daripada manusia, orang ramai sudah tentu akan merejam kita kerana mereka yakin bahawa Yahya itu seorang nabi." 7 Mereka pun menjawab kepada Isa bahawa mereka tidak mengetahui dari mana asalnya pembaptisan Yahya itu. 8 Oleh itu, Isa pun berkata kepada mereka, "Aku juga tidak akan memberitahu kamu atas kuasa siapa Aku melakukan segala perkara ini."
Ibarat petani penyewa di ladang anggur
9 Kemudian Isa menceritakan ibarat ini kepada orang ramai: "Seorang menanami ladang anggur. Dia menyewakan ladang itu kepada beberapa orang petani lalu berangkat ke negeri lain dan tinggal beberapa lama di situ. 10 Pada musim buah-buahan dia menyuruh seorang hamba pergi kepada petani-petani itu untuk menerima hasil buah-buahan bahagiannya daripada mereka tetapi petani-petani itu memukul hamba tersebut lalu mengusirnya balik dengan tangan kosong. 11 Pemilik ladang itu menyuruh seorang hamba yang lain pula. Tetapi petani-petani itu memukulnya, mempermalukannya dan mengusirnya dengan tangan kosong juga. 12 Pemilik ladang itu menyuruh hamba yang ketiga. Tetapi petani-petani itu mencederakannya lalu mengusirnya. 13 Pemilik ladang itu berkata, Apakah yang hendakku buat? Baik aku suruh anakku yang aku kasihi. Mungkin petani-petani itu akan menghormatinya. 14 Tetapi apabila petani-petani itu melihatnya, mereka berbincang sesama diri, Inilah warisnya. Marilah kita bunuhnya supaya ladang ini menjadi hak kita. 15 Mereka pun mengusirnya keluar dari ladang lalu membunuhnya.
Isa bertanya, "Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang terhadap petani-petani tersebut? 16 Sudah tentu dia akan datang dan membunuh petani-petani itu lalu menyewakan ladang anggur itu kepada orang lain pula." Setelah orang ramai itu mendengar ibarat ini, mereka berkata, "Sudah tentu tidak begitu!" 17 Tetapi Isa memandang mereka dan bertanya, "Apakah maksud ayat Kitab Suci ini:
18 "Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur luluh, dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan menjadi remuk redam."
Pertanyaan tentang pembayaran cukai
19 Ahli-ahli Taurat dan ketua-ketua imam mencari jalan hendak menangkap Isa kerana mereka mengetahui Isa telah menujukan ibarat itu terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. 20 Mereka menunggu peluang. Lalu mereka menyogok beberapa orang berpura-pura kelihatan ikhlas dan mengutus mereka untuk memerangkap Isa dengan mengemukakan pertanyaan tertentu supaya mereka dapat menyerahkan Isa kepada gabenor. 21 Mereka bertanya kepada Isa, "Guru, kami mengetahui apa yang Guru katakan dan ajarkan itu betul. Kami juga mengetahui Guru tidak memandang kedudukan seseorang tetapi mengajarkan kebenaran tentang kehendak Allah bagi manusia. 22 Beritahulah kami sama ada kami patut membayar cukai kepada Kaisar Rom mengikut Taurat?" 23 Isa mengetahui muslihat mereka lalu berkata, 24 Tunjukkanlah Aku sekeping mata wang. Gambar dan nama siapakah ini?" Mereka menjawab, "Gambar dan nama Kaisar." 25 Isa berkata kepada mereka, "Kalau begitu, bayarlah kepada Kaisar haknya dan bayarlah kepada Allah hak-Nya." 26 Oleh yang demikian, mereka tidak dapat memerangkap Isa di hadapan orang ramai itu. Mereka diam sahaja kerana hairan akan jawapan-Nya.
Pertanyaan tentang kebangkitan daripada maut
27 Beberapa orang Saduki, iaitu orang yang menafikan hal kebangkitan orang mati, datang bertanya kepada Isa, 28 "Guru, Musa telah memberi kita hukum berikut. Jikalau seseorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, adik lelakinya harus beristerikan balu itu untuk mendapatkan anak untuk si abang yang telah meninggal itu. 29 Ada tujuh orang adik beradik lelaki. Yang pertama mati tanpa mempunyai anak. 30 Yang kedua beristerikan balunya, 31 kemudian yang ketiga dan seterusnya kepada semua yang lain mereka semua meninggal tanpa mempunyai anak. 32 Akhirnya, perempuan itu pun meninggal. 33 Pada hari kebangkitan orang mati kelak, perempuan itu menjadi isteri siapa kerana ketujuh-tujuh adik beradik itu telah beristerikannya."
34 Isa menjawab, "Lelaki dan perempuan yang hidup sekarang ini berkahwin 35 tetapi mereka yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin. 36 Tambahannya, mereka itu seperti malaikat dan tidak boleh mati lagi. Mereka menjadi anak Allah kerana mereka telah dibangkitkan daripada kematian. 37 Musa telah menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Dalam kisah belukar yang bernyala, Tuhan disebut sebagai Allah yang disembah oleh Ibrahim, Isahak dan Yakub. 38 Allah bukannya Allah bagi orang mati tetapi bagi orang yang hidup. Mereka itu semua hidup pada Allah. 39 Beberapa orang ahli Taurat berkata, "Guru, betul jawapan-Mu." 40 Mereka tidak berani bertanya kepada Isa apa-apa lagi.
Pertanyaan tentang Al Masih
41 Isa berkata kepada mereka, "Bagaimanakah dikatakan bahawa Al Masih itu keturunan Daud? 42 Daud sendiri berkata dalam kitab Mazmur,
44 Jikalau Daud menyebut Dia Rabbi, bagaimanakah pula Dia keturunan Daud?"
Amaran Isa terhadap guru-guru Taurat
45 Di hadapan orang ramai itu Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya. 46 Berhati-hatilah dengan ahli-ahli Taurat yang suka berjalan-jalan dengan jubah mereka, suka dihormati di pasar, suka mendapatkan tempat terbaik di balai sembahyang dan di majlis makan. 47 Mereka memperdaya balu dan merampas harta mereka tetapi kemudian berpura-pura berdoa dengan panjangnya! Mereka akan menerima hukuman yang sangat berat.