Kelahiran Isa
2 Pada masa itu Kaisar Augustus menitahkan penduduk di seluruh kerajaan Rom dibanci. 2 Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di jajahan Siria. 3 Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri.
4 Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nasaret di jajahan Galilea ke kota Daud yang bernama Baitlahim di jajahan Judea kerana dia daripada keturunan Daud. 5 Dia pergi demi mendaftarkan diri bersama-sama dengan Maryam, tunangnya yang sedang hamil. 6 Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin. 7 Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan.
Gembala dan malaikat
8 Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga kambing biri-biri mereka. 9 Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. 10 Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, "Jangan takut! Aku memberitahu kepadamu perkhabaran baik yang akan membawa kesukaan kepada seluruh umat. 11 Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Al Masih Rabbi. 12 Inilah tandanya bagimu: kamu akan mendapati seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung."
13 Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh banyak malaikat dari syurga yang memuji-muji Allah:
15 Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata seorang kepada yang lain, "Marilah kita pergi ke Baitlahim untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu, yang diberitahu Tuhan kepada kita." 16 Mereka pergi dengan cepat lalu menjumpai Maryam dan Yusuf serta anak itu terbaring di dalam palung. 17 Setelah melihat anak itu, mereka pun memberitahukan segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu. 18 Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang diperkatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka; 19 tetapi Maryam mengingati segala perkara ini dan merenunginya. 20 Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang diperkatakan kepada mereka.
Isa dinamakan
21 Seminggu kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan-Nya, lalu Dia diberikan nama Isa, seperti yang diperkatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maryam.
Isa dipersembahkan di Bait Suci
22 Tibalah masanya untuk Yusuf dan Maryam melaksanakan upacara penyucian mengikut hukum Taurat Musa. Mereka pun membawa Isa ke Baitulmuqaddis untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan. 23 Tertulis dalam Hukum Tuhan bahawa tiap-tiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan. 24 Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati.
25 Pada masa itu ada seorang yang bernama Shamun di Baitulmuqaddis. Dia seorang yang benar dan salih kepada Allah, dan Roh Suci menyertainya. 26 Roh Suci telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat Al Masih yang dijanjikan oleh Tuhan. 27 Dia dipimpin oleh Roh untuk masuk ke dalam Bait Suci. Apabila Isa, anak itu, di bawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu, 28 Shamun memangku Dia dan bersyukur kepada Allah:
33 Kata-kata tentang anak itu telah mengagumkan ibu bapa-Nya. 34 Shamun memberkati mereka dan berkata kepada Maryam, ibu anak itu, "Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan banyak orang Israel kelak; Dia menjadi tanda daripada Allah yang akan dibantahi orang 35 kerana fikiran dan hati mereka akan didedahkan. Dan kesedihan bagai pedang akan menusuk hatimu."
36 Ada pula seorang nabiah yang bernama Hannah binti Panuil, daripada keturunan Ashir. Dia telah lanjut usianya. Dia berkahwin selama tujuh tahun 37 dan menjadi balu selama lapan puluh empat tahun. Dia tidak meninggalkan Bait Suci, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam. 38 Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu mengatakan perihal anak itu kepada semua orang yang menantikan Tuhan membebaskan Baitulmuqaddis.
Kepulangan ke Nasaret
39 Setelah ibu bapa-Nya menunaikan segala kewajipan hukum Tuhan, mereka pulang ke Galilea, iaitu ke kota Nasaret. 40 Anak itu semakin besar dan bertambah kuat serta penuh dengan kebijaksanaan. Rahmat Tuhan menyertai-Nya.
Isa di Bait Suci
41 Tiap-tiap tahun ibu bapa-Nya pergi ke Baitulmuqaddis untuk menyambut hari raya Paska. 42 Ketika Isa berusia dua belas tahun, mereka pergi menyambut hari raya itu seperti biasa. 43 Setelah tamatnya hari perayaan itu, mereka pun berangkat pulang; tetapi Isa, anak mereka itu masih di Baitulmuqaddis dan ibu bapa-Nya tidak menyedari hal itu. 44 Mereka menyangka Dia ada bersama-sama dengan teman-teman seperjalanan. Oleh itu mereka berjalan sepanjang hari sebelum mereka mencari-cari Isa antara kaum keluarga dan kenalan mereka. 45 Oleh sebab mereka tidak menjumpai-Nya, mereka kembali ke Baitulmuqaddis untuk mencari-Nya. 46 Selepas tiga hari, mereka mendapati Isa di dalam Bait Suci. Dia duduk dikelilingi oleh guru-guru Taurat sambil mendengar pengajaran mereka dan menanya soalan. 47 Semua orang yang mendengar Isa kagum tentang kebijaksanaan-Nya. 48 Ketika ibu bapa-Nya melihat-Nya, mereka juga kagum lalu ibu-Nya berkata, "Anakku, mengapakah Engkau berbuat demikian terhadap kami? Ibu dan ayah begitu bimbang mencari-cari-Mu." 49 Lalu Isa menjawab, "Mengapakah ibu dan ayah mencari Saya? Tidakkah ibu dan ayah mengetahui Saya perlu berada di dalam rumah Bapa-Ku?" 50 Tetapi mereka tidak memahami apa yang diperkatakan-Nya kepada mereka.
51 Kemudian Dia pulang bersama-sama dengan mereka ke Nasaret. Dia taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan segala perkara ini dalam hatinya. 52 Isa semakin besar dan bijaksana. Dia juga semakin disenangi oleh Allah dan manusia.