Kambing yang hilang
15 Pada suatu hari semua pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat datang mendengar Isa. 2 Orang Farisi dan ahli-ahli Taurat bersungut-sungut. Mereka berkata, "Orang ini menyambut orang yang dihina masyarakat dan makan bersama-sama dengan mereka." 3 Isa pun mengatakan ibarat ini kepada mereka.
4 "Jikalau seorang antara kamu mempunyai seratus ekor kambing lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor kambing di padang lalu pergi mencari kambing yang hilang itu sehingga ditemukannya. 5 Setelah dia menemukannya, dia akan memikul kambing itu di atas bahunya dengan sukacitanya. 6 Setibanya di rumah, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya lalu berkata, Bergembiralah dengan saya kerana saya telah menemukan kambing saya yang hilang itu. 7 Aku berkata kepadamu bahawa begitu juga akan ada kegembiraan di syurga kerana seorang yang berdosa bertaubat lebih daripada kegembiraan kerana sembilan puluh sembilan orang benar yang tidak perlu bertaubat.
Wang yang hilang
8 "Atau seandainya seorang perempuan yang mempunyai sepuluh keping wang perak kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita lalu menyapu rumah dan mencari dengan cermat sehingga dia menemukannya kembali. 9 Setelah itu, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya dan berkata, Bergembiralah dengan saya kerana saya telah menemukan sekeping wang yang telah hilang itu. 10 Aku berkata kepadamu bahawa malaikat-malaikat Allah bergembira kerana seorang yang berdosa bertaubat."
Anak lelaki yang hilang
11 Isa berkata seterusnya, "Ada seorang yang mempunyai dua orang anak lelaki. 12 Anak bongsu berkata kepada bapanya, Ayah, berilah saya sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku. Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu. 13 Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanahnya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya. 14 Setelah dia menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu dan dia dalam keadaan serba kekurangan. 15 Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya. 16 Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya. 17 Akhirnya, dia sedar dan berkata, Semua orang gaji bapaku dapat makan hingga kenyang, tetapi aku ini hampir mati kelaparan! 18 Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya, Ayah, saya telah berbuat dosa kepada Allah dan kepada ayah. 19 Saya tidak layak disebut sebagai anak ayah. Jadikanlah saya ini sebagai salah seorang gaji ayah. 20 Dia pun kembali kepada bapanya. Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya. 21 Anak itu berkata kepada bapanya, Ayah, saya telah berbuat dosa kepada Allah dan kepada ayah. Saya tidak layak disebut anak ayah. 22 Bapa itu menyuruh hamba-hambanya, Segeralah ambil pakaian yang terbaik dan pakaikannya kepada anakku. Sarungkan sebentuk cincin di jarinya dan pakaikan kasut pada kakinya. 23 Pilihlah anak lembu yang tambun, sembelihnya dan marilah kita menyambut kepulangan anakku dengan mengadakan jamuan. 24 Anakku ini telah mati tetapi hidup kembali; dia telah sesat tetapi sudah ditemui sekarang. Lalu jamuan itu dimulakan.
25 "Pada masa itu anak sulung bekerja di ladang. Apabila dia pulang ke rumah, dia terdengar bunyi muzik dan orang menari-nari. 26 Dia memanggil seorang hamba lalu bertanya, Apakah yang sedang berlaku ini? 27 Hamba itu menjawab, Adik tuan telah pulang dan bapa tuan telah menyembelih anak lembu yang tambun kerana adik tuan pulang dengan selamatnya. 28 Anak sulung itu sangat marah sehingga dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Ayahnya keluar lalu memujuk dia. 29 Anak sulung itu berkata, Tengoklah bertahun-tahun saya bekerja seperti hamba untuk ayah. Saya tidak pernah melanggar perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor kambing pun kepada saya supaya saya dapat bersukaria dengan sahabat-sahabat saya. 30 Namun sepulangnya anak ayah ini yang telah memboroskan harta ayah dengan perempuan-perempuan sundal, ayah menyembelih anak lembu yang tambun untuknya. 31 Si bapa berkata kepadanya, Anakku, engkau ini sentiasa bersama-sama dengan ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu. 32 Kita patut mengadakan jamuan dan bergembira kerana adikmu ini telah mati tetapi hidup kembali; dia telah sesat tetapi ditemui kembali."