Bertaubat atau binasa
13 Pada masa itu beberapa orang datang memberitahu Isa tentang orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus semasa mereka sedang mempersembahkan korban kepada Allah. 2 Isa berkata, "Adakah kamu menganggap orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua penduduk Galilea yang lain kerana mereka menderita sengsara yang sedemikian? 3 Aku berkata kepadamu bukan begitu dan jikalau kamu tidak bertaubat daripada dosamu, kamu akan binasa sedemikian juga. 4 Bagaimanakah pula dengan lapan belas orang yang mati ditimpa oleh menara di Siloam? Adakah mereka lebih bersalah daripada semua penduduk lain di kota Baitulmuqaddis? 5 Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jikalau kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa sedemikian juga."
Ibarat tentang pokok ara yang tidak berbuah
6 Isa menceritakan suatu ibarat. "Seorang telah menanam pokok ara di dalam kebun anggurnya. Dia datang mencari buahnya, tetapi tidak dijumpai. 7 Dia berkata kepada tukang kebun, Tengoklah, sudah tiga tahun saya datang mencari buah daripada pokok ara ini, tetapi tidak juga didapati. Tebangkanlah pokok ini! Apa gunanya terus menghabiskan kesuburan tanah? 8 Tukang kebun menjawab, Tuan, biarkan pokok ini tumbuh setahun lagi. Saya akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan membubuh baja. 9 Kalau pokok ini berbuah, baiklah. Kalau tidak, tuan boleh menebangkannya."
Isa menyembuhkan seorang perempuan bongkok pada hari Sabtu
10 Pada hari Sabtu Isa mengajar di salah sebuah balai sembahyang. 11 Di situ ada seorang perempuan yang dirasuk oleh roh jahat sehingga menyebabkannya sakit selama lapan belas tahun. Belakangnya bongkok sekali sehingga dia tidak dapat berdiri tegak. 12 Apabila Isa nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, "Engkau sembuh daripada penyakit itu." 13 Lalu Isa meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu. Seketika itu juga, dia berdiri tegak dan memuji Allah. 14 Tetapi ketua balai sembahyang itu marah kerana Isa telah menyembuhkan orang pada hari Sabtu. Lalu dia berkata kepada orang ramai, "Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabtu." 15 Rabbi menjawab, "Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk diberikan minuman pada hari Sabtu? 16 Sekarang perempuan daripada keturunan Ibrahim ini telah dibelenggu oleh Iblis selama lapan belas tahun, tidak haruskah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabtu?" 17 Jawapan Isa memalukan semua musuh-Nya tetapi orang ramai bersukacita kerana segala perkara mulia yang dilakukan oleh Isa.
Ibarat biji sesawi
18 Isa berkata, "Bagaimanakah keadaan kerajaan Allah dan dengan apakah dapat Aku bandingkannya? 19 Keadaannya umpama biji sesawi yang ditanam orang di dalam kebunnya. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok lalu burung di udara membuat sarang pada cabang-cabangnya."
Ibarat ragi
20 Isa berkata lagi, "Dengan apakah dapat Aku bandingkan kerajaan Allah? 21 Keadaannya umpama ragi seorang dicampur oleh seorang perempuan dengan tiga gantang tepung sampai seluruh adunannya naik."
Pintu yang sempit
22 Dalam perjalanan ke Baitulmuqaddis, Isa melalui beberapa buah kota dan kampung sambil mengajar. 23 Seorang bertanya kepada-Nya, "Tuan, adakah sedikit orang sahaja yang akan diselamatkan?" Isa menjawab, 24 "Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa banyak orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya.
25 "Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika kamu berdiri di luar serta mengetuk pintu sambil berkata, Tuan, tuan, bukalah pintu, tetapi dia akan menjawab, Saya tidak tahu dari mana kamu datang. 26 Kemudian kamu akan berkata, Kami telah makan dan minum bersama-sama dengan tuan, dan tuan mengajar di kota kami. 27 Tetapi tuan itu akan berkata, Saya tidak tahu dari mana kamu datang. Nyahlah, kamu semua yang melakukan kejahatan! 28 Kamu akan menangis dan mengertak gigi kelak apabila kamu melihat Ibrahim, Isahak dan Yakub bersama-sama dengan semua nabi di dalam kerajaan Allah, tetapi kamu diusir keluar. 29 Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara serta selatan untuk menikmati jamuan di dalam kerajaan Allah. 30 Sesungguhnya, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir."
Kasih Isa terhadap Baitulmuqaddis
31 Pada masa itu beberapa orang Farisi datang kepada Isa dan berkata, "Tuan harus pergi dari sini. Herodes hendak membunuh Tuan." 32 Isa menjawab, "Pergilah beritahu orang licik itu, Pada hari ini dan esok Aku mengusir roh jahat serta menyembuhkan orang tetapi pada hari ketiga Aku akan menyelesaikan tugas-Ku. 33 Namun, Aku harus meneruskan perjalanan pada hari ini, esok dan lusa. Seorang nabi tidak dibunuh di tempat lain kecuali di Baitulmuqaddis.
34 "Baitulmuqaddis, Baitulmuqaddis! Engkau membunuh nabi-nabi dan merejam utusan-utusan Allah. Sudah beberapa kali Aku ingin memeluk semua pendudukmu seperti seekor ibu ayam melindungi anak-anaknya di bawah kepaknya, tetapi engkau tidak mahu. 35 Sekarang rumahmu akan ditinggalkan sama sekali. Aku berkata kepadamu bahawa kamu tidak akan melihat Aku sehingga tiba masanya kamu berkata, Diberkatilah Dia yang datang dengan Nama Tuhan."