Pengajaran Isa tentang doa
11 Isa berdoa di suatu tempat dan setelah Dia berhenti, salah seorang daripada pengikut-Nya berkata, "Rabbi, ajarlah kami berdoa seperti Yahya mengajar pengikut-pengikutnya." 2 Isa berkata kepada mereka, "Apabila kamu berdoa, katakanlah:
5 Isa meneruskan kata-Nya, "Siapakah antara kamu yang akan pergi kepada sahabat nya pada lewat malam lalu berkata kepadanya, Hai sahabat, pinjamilah saya tiga buku roti 6 kerana seorang sahabat saya telah singgah di rumah saya dalam perjalanannya dan saya tiada makanan apa-apa untuk dihidangkan. 7 Sahabat itu menjawab dari dalam rumahnya, Janganlah ganggu saya kerana pintu sudah dikunci dan kami semua telah pun masuk tidur. Saya tidak dapat bangun dan memberikan apa-apa. 8 Isa berkata, "Aku berkata kepadamu bahawa sungguhpun kamu sahabatnya, dia tidak mahu bangun memberikan pinjaman itu kepadamu tetapi dia akan bangun dan memberikan pinjaman seberapa banyak yang kamu perlukan kalau kamu tidak segan untuk terus meminta daripadanya. 9 Oleh itu, Aku berkata kepadamu mintalah supaya kamu akan diberi; carilah supaya kamu akan mendapat; ketuklah pintu supaya pintu akan dibuka untukmu. 10 Kerana setiap orang yang meminta akan menerima; yang mencari akan mendapat; dan pintu akan dibuka kepada orang yang mengetuknya. 11 Bapa yang manakah antara kamu akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan, 12 atau memberikan kala jengking kalau dipintanya telur? 13 Jika kamu yang jahat tahu memberikan barang yang baik kepada anak-anaknya, lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga akan memberikan Roh Suci kepada orang yang meminta-Nya!"
Isa dan Baalzabul
14 Isa mengusir roh jahat daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Orang ramai pun hairan. 15 Tetapi ada orang yang berkata, "Dia mengusir roh jahat dengan kuasa Baalzabul, ketua semua roh jahat." 16 Orang lain cuba memerangkap Isa dengan meminta-Nya melakukan suatu mukjizat untuk menunjukkan Allah berkenan dengan-Nya. 17 Isa mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada mereka, "Setiap negara yang berbelah bahagi dan bermusuhan sesama rakyatnya tidak akan tahan lama dan setiap keluarga yang bersengketa sesama diri akan hancur. 18 Jikalau kerajaan Iblis berlawan-lawanan sesama diri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku mengusir roh jahat dengan kuasa Baalzabul. 19 Tetapi jikalau Aku mengusir roh dengan kuasa Baalzabul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu mengusir roh jahat? Maka pengikut-pengikutmu sendiri membuktikan bahawa kamu silap sama sekali! 20 Tetapi dengan kuasa Allah Aku mengusir roh jahat. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Allah telah datang kepada kamu.
21 "Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya tentu selamat; 22 tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang digunakan oleh pemiliknya lalu membahagikan harta yang dirampasnya.
23 "Orang yang tidak berpihak kepada Aku menentang Aku; dan orang yang tidak menolong Aku sebenarnya menjejaskan pekerjaan-Ku."
Roh jahat kembali
24 "Apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu mengembara di tempat yang kering untuk mencari tempat berehat. Jika tempat itu tidak dapat dicari, roh itu berkata, Aku akan pulang ke tempat kediamanku yang lama. 25 Roh itu kembali dan mendapati tempat kediamannya itu bersih dan kemas. 26 Kemudian dia pergi membawa tujuh roh lain yang lebih jahat daripadanya lalu mereka tinggal di situ. Keadaan orang itu pada akhirnya lebih teruk daripada dahulu."
Kebahagiaan yang sejati
27 Setelah Isa berkata demikian, seorang perempuan antara orang ramai itu berkata, "Alangkah bahagianya perempuan yang melahirkan Kamu dan menyusui Kamu." 28 Tetapi Isa berkata, "Bahkan lebih bahagia lagi orang yang mendengar firman Allah dan mematuhinya."
Meminta mukjizat dilakukan
29 Semasa orang ramai mengerumuni Isa, Dia berkata, "Betapa jahatnya orang pada zaman ini! Mereka meminta mukjizat dilakukan sebagai tanda daripada Allah tetapi mukjizat tidak akan dilakukan kecuali mukjizat Nabi Yunus 30 kerana seperti Yunus telah menjadi tanda kepada orang Niniwe, demikian juga Anak Manusia menjadi tanda kepada orang pada zaman ini. 31 Pada hari pengadilan Ratu dari negeri selatan itu akan bangkit dan menyalahkan mereka kerana ratu itu telah datang dari hujung bumi untuk mendengar pengajaran Sulaiman yang bijak,dan di sini ada seorang yang lebih besar daripada Sulaiman. 32 Orang Niniwe akan bangkit pada hari pengadilan dan menyalahkan orang pada zaman ini kerana orang Niniwe itu telah bertaubat daripada dosa mereka apabila mendengar khutbah Yunus; dan di sini ada seorang yang lebih besar daripada Yunus.
Pelita bagi tubuh
33 "Tiada seorang pun yang memasang pelita lalu meletakkannya di tempat yang tersembunyi. Sebaliknya, dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya orang yang masuk dapat melihat cahayanya. 34 Matamu ialah pelita bagi tubuhmu. Jikalau matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu pun menjadi gelap. 35 Oleh itu, berjaga-jagalah supaya terang dalammu itu tidak menjadi gelap. 36 Jikalau seluruh tubuhmu itu terang tanpa bahagian yang gelap, seluruh tubuhmu akan menjadi terang seperti sebuah pelita yang menerangi kamu dengan cahayanya."
Isa menuduh orang Farisi dan guru Taurat
37 Setelah Isa habis bercakap, seorang Farisi menjemput Dia makan di rumahnya. Isa pun pergi lalu duduk makan. 38 Orang Farisi itu kehairanan apabila melihat Isa tidak membasuh tangan-Nya sebelum makan. 39 Rabbi berkata kepadanya, "Kamu orang Farisi mencuci bahagian luar pinggan mangkuk, tetapi kamu penuh dengan kekerasan dan kejahatan dalam hatimu. 40 Hai orang yang bodoh! Bukankah Allah yang menjadikan bahagian luar juga menjadikan bahagian dalam? 41 Berikanlah makanan yang ada di dalam pinggan mangkuk itu kepada orang miskin dan segala-galanya akan menjadi bersih bagimu.
42 "Alangkah besar kecelakaan kamu, orang Farisi! Kamu membayar sepersepuluh daripada selasih, inggu dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan dan kasih kepada Allah. Kamu haruslah membayar sepersepuluh itu tanpa mengabaikan perkara-perkara yang lebih penting.
43 "Alangkah besar kecelakaan kamu orang Farisi! Kamu suka duduk di kerusi khas di balai-balai sembahyang dan juga disalam dengan hormatnya di pasar-pasar. 44 Alangkah besar kecelakaan kamu! Kamu umpama kubur-kubur yang tidak bernisan, yang dipijak-pijak tanpa disedari oleh orang."
45 Seorang daripada guru Taurat berkata kepada Isa, "Guru menghina kami juga apabila Guru berkata sedemikian." 46 Isa berkata, "Alangkah besar kecelakaan kamu guru-guru Taurat, kerana kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak menghulurkan jari untuk menolong mereka memikul beban itu. 47 Alangkah besar kecelakaan kamu! Kamu membina kubur nabi-nabi yang telah dibunuh oleh nenek moyangmu. 48 Oleh itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyangmu itu; kerana mereka telah membunuh nabi-nabi itu tetapi kamu membina kubur-kubur mereka pula. 49 Dengan itu, kebijaksanaan Allah telah mengatakan, Aku mengutus nabi-nabi dan utusan-utusan kepada mereka, tetapi ada yang dibunuh atau dianiayai oleh mereka. 50 Jadi, orang pada zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi sejak dunia dicipta, 51 iaitu, semenjak pembunuhan Habil sehingga pembunuhan Zakaria di antara tempat persembahan korban dengan Bait Suci. Ya, Aku berkata kepadamu bahawa orang pada zaman ini akan dihukum untuk pembunuhan semua nabi itu.
52 Alangkah besar kecelakaan kamu, guru-guru Taurat! Kunci pengetahuan tentang kerajaan Allah telah kamu ambil; kamu sendiri tidak mahu masuk tetapi kamu menghalang orang yang cuba hendak masuk."
53 Setelah Isa keluar dari rumah itu, ahli-ahli Taurat dan orang Farisi mula mengecam Dia. Mereka menanya-Nya tentang banyak perkara, 54 dan cuba memerangkap Dia dengan mencari kesalahan dalam sesuatu yang dikatakan-Nya.