3
Segalanya untuk al-Masih
1 Akhir kata, saudara-saudaraku, bersukacitalah dalam Tuhan! Bagiku menuliskan perkara yang sama kepadamu tidaklah menjemukan, dan ini memastikan keselamatanmu.
2 Awas orang yang bersikap seperti anjing, awas orang yang berbuat jahat, awas tukang sunat yang palsu. 3 Kerana kita ini orang bersunat, yang menyembah Allah dalam Roh, bermegah dalam Isa al-Masih, dan tidak mengharapkan hal lahiriah – 4 walaupun aku sendiri ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah.
Jika sesiapa menyangka dia ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah, aku lebih lagi. 5 Aku disunatkan ketika berumur lapan hari, berbangsa Israel, daripada suku Benyamin, seorang Ibrani keturunan orang Ibrani; dalam hal Taurat aku orang Farisi; 6 dari segi kesungguhan, aku telah menganiaya jemaah; tentang kebenaran dalam mentaati Taurat, aku tiada cacat cela.
7 Tetapi segala yang dahulu merupakan untung bagiku, sekarang kukira rugi kerana al-Masih. 8 Bahkan segala perkara kukira rugi berbanding keagungan mengenal Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Esa. Oleh sebab Dialah aku telah kerugian segalanya, yang kukira sampah sarap belaka, supaya aku mendapat untung iaitu al-Masih, 9 dan didapati di dalam-Nya, bukan dengan kebenaran sendiri yang datang dari Taurat, melainkan yang datang melalui iman kepada al-Masih, kebenaran daripada Allah melalui iman. 10 Aku hendak mengenal-Nya dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya, 11 supaya pada akhirnya aku dapat mencapai kebangkitan daripada kematian.
Terus berusaha ke arah matlamat
12 Bukanlah aku telah mencapainya, atau telah disempurnakan, tetapi aku terus berusaha, semoga aku dapat mengambil sesuatu yang kerananya aku telah diambil oleh Isa al-Masih. 13 Saudara-saudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan, 14 aku terus berusaha ke arah matlamat mendapatkan ganjaran, iaitu panggilan Allah ke syurga dalam Isa al-Masih.
15 Oleh itu semua yang matang antara kita hendaklah berfikiran sedemikian, dan jika berbeza fikiranmu dalam apapun, Allah akan menyatakan hal itu juga kepadamu. 16 Tetapi setakat yang telah kita capai, marilah kita menempuhnya demikian juga.
17 Saudara-saudara, bersatulah menurut teladanku, dan perhatikan mereka yang hidup selaras dengan teladan yang kami berikan. 18 Kerana, seperti yang sudah sering kukatakan kepadamu, dan sekarang kukatakan lagi dengan tangisku, ramai orang hidup sebagai seteru kepada salib al-Masih. 19 Kesudahan mereka adalah kebinasaan, tuhan mereka adalah perut mereka, kemuliaan mereka adalah dalam keaiban mereka. Mereka menumpukan perhatian kepada perkara dunia. 20 Tetapi kewargaan kita adalah di syurga, dari situ kita menanti-nantikan Penyelamat, Junjungan Isa al-Masih. 21 Dia akan mengubah tubuh kita yang hina ini supaya serupa dengan tubuh-Nya yang mulia, melalui kuasa-Nya yang dapat menaklukkan segalanya kepada diri-Nya.