4
Ibarat tentang seorang penabur
1 Isa mula mengajar lagi di pinggir laut. Begitu ramainya orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya sehingga Dia terpaksa duduk di dalam sebuah perahu di laut itu manakala orang ramai berdiri di pantai. 2 Isa mengajar mereka banyak perkara melalui ibarat. Dalam ajaran-Nya itu, Dia berkata: 3 ‘Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih. 4 Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu habis dimakan burung. 5 Ada yang jatuh di tempat yang berbatu dan kurang tanahnya. Benih itu cepat tumbuh kerana tanahnya tidak dalam. 6 Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak mempunyai akar. 7 Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah. 8 Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.’
9 Lalu kata-Nya, ‘Jika kamu bertelinga, dengarlah.’
10 Ketika Isa bersendirian, dua belas pengikut-Nya dan beberapa orang yang ada bersama-Nya menanya Dia erti ibarat itu. 11 Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan Allah. Tetapi orang luar akan mendengarnya melalui ibarat, 12 supaya
‘ “Mereka terus melihat tetapi tidak nampak,
mereka terus mendengar
tetapi tidak faham;
kerana sekiranya mereka mengerti,
mereka akan bertaubat dan diampuni!” ’
13 Kemudian Isa bertanya kepada mereka, ‘Jika kamu tidak memahami ibarat itu, bagaimanakah kamu dapat mengerti ibarat yang lain? 14 Peladang itu menabur firman. 15 Ada orang seperti benih di jalan, tempat firman itu ditabur. Sebaik-baik mereka mendengar firman, datanglah Iblis untuk mengambil firman yang sudah ditabur di dalam hati mereka. 16 Ada orang lain seperti benih yang ditabur di tempat berbatu. Mereka mendengar firman itu dan segera menerimanya dengan sukacita, 17 tetapi akarnya tidak dalam di hati, maka tidak tahan lama. Apabila orang itu menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, mereka segera berpaling. 18 Ada yang lain seperti benih yang ditabur di tengah semak berduri. Mereka mendengar firman itu, 19 tetapi kerunsingan tentang hidup, tarikan palsu harta benda dan aneka kemahuan lain membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah. 20 Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur. Mereka mendengar dan menyambut firman itu lalu mendatangkan hasil: tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.’
Ibarat tentang pelita
21 Isa berkata pula, ‘Pernahkah orang memasang pelita lalu meletakkannya di bawah pasu atau katil? Tentu diletakkannya di atas kaki pelita. 22 Yang tersembunyi akan dinyatakan, yang dirahsiakan akan didedahkan. 23 Jika kamu bertelinga, dengarlah.’
24 Selepas itu Isa berkata, ‘Perhatikan apa yang kamu dengar. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu, malah lebih berat lagi. 25 Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak ada, sedikit yang ada padanya pun akan diambil daripadanya.’
Ibarat tentang benih yang tumbuh
26 Isa berkata seterusnya, ‘Kerajaan Allah ibarat seorang yang menabur benih di ladangnya. 27 Malam dia tidur, siang dia bekerja. Benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Dia tidak faham bagaimana hal itu terjadi. 28 Tanahlah yang menumbuhkan tanaman hingga berbuah – mula-mula pucuk, kemudian bulir, akhirnya buah. 29 Setelah masak, buahnya dituai oleh orang itu kerana musim menuai telah tiba.’
Ibarat tentang biji sesawi
30 ‘Bagaimanakah kerajaan Allah?’ kata Isa lagi. ‘Apakah ibarat yang dapat digunakan untuk menjelaskannya? 31 Keadaannya seperti biji sesawi yang ditabur di tanah, iaitu benih terkecil di dunia. 32 Tetapi apabila ditabur, benih itu tumbuh dan menjadi tumbuhan yang terbesar. Dahannya begitu rimbun sehingga burung membuat sarang di bawah keteduhannya.’
33 Dengan banyak ibarat yang semacam itu Isa mengajar tentang firman kepada mereka, setakat yang dapat mereka faham. 34 Dia tidak berkata-kata kepada mereka tanpa ibarat. Tetapi apabila Dia sendirian dengan para pengikut-Nya, Dia menerangkan segala-galanya.
Angin ribut diredakan
35 Pada petang itu juga, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah kita pergi ke seberang sana.’ 36 Ketika itu Isa di dalam perahu. Para pengikut-Nya meninggalkan orang ramai itu di pantai lalu belayar bersama-Nya. Ada beberapa perahu lain yang belayar bersama-sama. 37 Lalu angin bertiup kencang dan ombak melanda perahu sehingga hampir dipenuhi air. 38 Ketika itu Isa sedang tidur di bahagian belakang perahu, kepala-Nya beralaskan bantal. Para pengikut-Nya mengejutkan Dia lalu berkata, ‘Tuan Guru, tidakkah Engkau peduli? Kita hampir karam!’
39 Isa bangun lalu memarahi angin dan berkata kepada ombak, ‘Diam! Tenanglah!’ Angin pun reda dan laut menjadi tenang.
40 Kemudian Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Mengapa kamu begitu takut? Mengapa kamu masih tidak percaya?’
41 Mereka berasa gerun lalu berkata sesama sendiri, ‘Siapakah Dia ini? Angin dan ombak pun taat kepadanya!’