20
Ibarat tentang pekerja di ladang anggur
1 ‘Kerajaan syurga seperti ibarat ini. Seorang tuan punya ladang anggur keluar pada awal pagi untuk mengupah orang bekerja di ladangnya. 2 Dia bersetuju membayar upah yang biasa dibayar untuk bekerja sehari iaitu sekeping wang perak. Dia pun menyuruh mereka pergi ke ladang.
3 ‘Pada pukul sembilan pagi, tuan punya ladang itu keluar lagi lalu melihat beberapa orang lain berdiri-diri tanpa berbuat apa-apa di pasar. 4 Dia berkata kepada mereka, “Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan memberimu upah yang berpatutan.” ’ 5 Mereka pun pergi.
‘Pada pukul dua belas tengah hari dan pada pukul tiga petang, begitu jugalah yang terjadi. 6 Pada kira-kira pukul lima petang dia pergi lagi ke pasar dan melihat beberapa orang berdiri-diri tidak berbuat apa-apa. Dia menanya mereka, “Mengapa kamu membuang masa tidak membuat apa-apa kerja?”
7 ‘Mereka menjawab, “Tiada siapa mengupah kami bekerja.”
‘Kalau begitu, pergilah bekerja di ladang anggurku,’ kata tuan punya ladang itu.
8 ‘Setelah hari petang, tuan punya ladang anggur itu berkata kepada ketua pekerja, “Panggillah pekerja-pekerja itu dan bayarlah upah masing-masing, mulai daripada pekerja yang datang terakhir hingga kepada pekerja yang datang awal sekali.”
9 ‘Mereka yang bekerja dari pukul lima petang menerima sekeping wang perak seorang. 10 Oleh itu mereka yang bekerja sejak pagi menjangka akan menerima bayaran yang lebih, tetapi mereka pun mendapat sekeping wang perak seorang. 11 Mereka pun mulalah bersungut kepada tuan punya ladang itu. 12 Mereka berkata, “Pekerja-pekerja yang bermula pada pukul lima itu cuma bekerja sejam sedangkan kami sehari suntuk dalam panas matahari. Tetapi tuan membayar kami dan mereka sama saja!”
13 ‘Tuan punya ladang itu menjawab kepada seorang daripada mereka, “Dengarlah, kawan, aku tidak menipumu. Bukankah kamu telah bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang perak sehari? 14 Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu upah yang sama. 15 Bukankah hakku berbuat sesuka hati dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu busuk hati kerana aku bermurah hati?” ’
16 Isa berkata lagi, ‘Begitulah, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang terdahulu akan menjadi yang terakhir.’
Isa memberitahu tentang kematian-Nya
17 Ketika Isa sedang dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, Dia mengajak kedua belas orang pengikut-Nya ke tepi dan berkata hanya kepada mereka: 18 ‘Dengarlah, kita sekarang ke Baitulmaqdis. Di sana Putera Insan akan dikhianati dan diserahkan kepada ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. 19 Kemudian mereka akan menyerahkan-Nya kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Dia akan diejek, disebat dan disalib oleh mereka. Tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan semula.’
Permintaan seorang ibu
20 Setelah itu, isteri Zebedeus datang mendapatkan Isa dengan kedua-dua orang anaknya. Dia bersujud di hadapan Isa dan memohon sesuatu.
21 ‘Apakah permintaanmu?’ tanya Isa.
Ibu itu menjawab, ‘Junjungan berjanjilah bahawa apabila Engkau menjadi raja, kedua-dua orang anakku itu akan duduk di kiri kanan-Mu.’
22 Isa berkata kepada kedua-dua orang anak lelaki ibu itu, ‘Kamu tidak tahu apa yang kamu minta itu. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Kuminum?’
‘Sanggup,’ jawab mereka.
23 Isa berkata kepada mereka, ‘Memang kamu akan minum dari cawan-Ku dan diimadkan secara Aku diimadkan. Tetapi Aku tidak berhak menentukan siapa yang akan duduk di kiri kanan-Ku kerana tempat itu milik mereka yang telah ditentukan oleh Bapa-Ku.’
24 Apabila sepuluh pengikut Isa yang lain mendengar perkara itu, mereka marah kepada dua saudara itu. 25 Oleh yang demikian, Isa memanggil mereka semua lalu berkata, ‘Kamu tahu bahawa di kalangan bangsa yang tidak mengenal Allah, orang yang berkuasa menindas rakyat, dan pegawai besar mereka mempunyai kuasa terhadap mereka. 26 Tetapi di kalanganmu bukan begitu. Sebaliknya, jika seorang daripadamu ingin menjadi orang besar, dia mestilah melayan yang lain. 27 Sekiranya seorang daripadamu hendak menjadi orang yang pertama, dia haruslah menjadi hamba kepada orang lain. 28 Demikianlah Putera Insan: Dia datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, serta menyerahkan nyawa-Nya untuk menjadi tebusan bagi umat manusia.’
Isa menyembuhkan dua orang buta
29 Isa meninggalkan Yerikho bersama para pengikut-Nya. Ramai orang mengikut mereka. 30 Dua orang buta yang duduk di tepi jalan mendengar bahawa Isa lalu di situ lalu berseru, ‘Wahai Junjungan, Anak Daud, kasihanilah kami!’
31 Orang ramai memarahi mereka dan menyuruh mereka diam. Tetapi mereka berseru lebih lantang lagi, ‘Wahai Junjungan, Anak Daud, kasihanilah kami!’
32 Isa berhenti lalu memanggil mereka dan bertanya, ‘Apakah yang kamu mahu Kulakukan untukmu?’
33 Mereka menjawab, ‘Junjungan, kami ingin melihat!’
34 Isa mengasihani mereka. Dia menyentuh mereka, dan dengan serta-merta mereka dapat melihat, lalu mereka pun mengikut-Nya.