7
Menghakimi orang lain
‘Jangan hakimi orang lain, supaya kamu tidak dihakimi. Kerana sebagaimana kamu menghakimi orang, demikian jugalah kamu akan dihakimi. Ukuran yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan Allah untuk menghakimi kamu.
‘Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari? Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah aku keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan kayu balak terpampang di matamu sendiri? Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar dari mata saudaramu.
‘Jangan berikan sesuatu yang suci kepada anjing, atau mutiara kepada babi, nanti dipijak-pijaknya lalu berpaling menyerangmu.
Nasihat supaya berdoa
‘Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu. Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya.
‘Bapa manakah akan memberikan batu kepada anaknya yang meminta roti? 10 Bapa manakah akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan? 11 Kamu yang berdosa pun tahu memberikan sesuatu yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan sesuatu yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya. 12 Apa yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukan kepada mereka, kerana inilah ajaran Taurat dan nabi-nabi.
Memilih jalan yang betul
13 ‘Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu gerbang dan jalan ke neraka itu lebar dan luas, maka ramai orang yang memilihnya. 14 Sebaliknya pintu dan jalan ke hidup kekal itu sempit dan sukar. Hanya segelintir orang yang menjumpainya.
Pokok dan buahnya
15 ‘Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas. 16 Kamu akan mengenal mereka daripada hasil perbuatan mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri? 17 Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik manakala pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik. 18 Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan buah yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik. 19 Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar. 20 Demikianlah kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka.
21 ‘Tidak semua orang yang memanggil-Ku, “Junjungan kami, Junjungan kami,” akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. 22 Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, “Junjungan kami, Junjungan kami, bukankah kami telah menyampaikan perkhabaran Allah dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?” 23 Tetapi aku akan menjawab, “Aku tidak mengenalmu. Pergilah dari sini, hai kamu yang mungkar.”
Dua jenis asas
24 ‘Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu. 25 Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu. 26 Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir. 27 Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!’
28 Setelah selesai Isa menyampaikan kata-kata itu, orang ramai itu kagum akan cara Dia mengajar. 29 Isa mengajar secara berwibawa, tidak seperti guru Taurat mereka.