5
Yang diberkati
Ketika Isa melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas sebuah bukit lalu duduk. Kemudian datanglah para pengikut-Nya kepada-Nya. Dia pun mula mengajar mereka:
 
‘Diberkatilah mereka yang terasa kelemahan rohani,
kerana kerajaan syurga untuk mereka.
Diberkatilah mereka yang bersedih,
kerana mereka akan terhibur.
Diberkatilah mereka yang lemah lembut,
kerana mereka akan mewarisi bumi ini.
Diberkatilah mereka yang
dahagakan kebenaran,
kerana mereka akan dipuaskan.
Diberkatilah mereka yang berpengasihan,
kerana mereka akan dikasihani juga.
Diberkatilah mereka yang suci hati,
kerana mereka akan melihat Allah.
Diberkatilah mereka yang
mendamaikan manusia,
kerana mereka akan dipanggil
anak-anak Allah.’
10 Diberkatilah mereka yang dianiaya
kerana menegakkan kebenaran,
kerana kerajaan syurga untuk mereka.
 
11 ‘Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu kerana mengikut-Ku. 12 Bersukacita dan bergembiralah, kerana ganjaran besar telah disediakan untukmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya.
Garam dan cahaya
13 ‘Kamu ialah garam bumi ini. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang.
14 ‘Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi. 15 Tiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah bekas; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah. 16 Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga.
Isa dan hukum Taurat
17 ‘Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. 18 Ingatlah: Selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku. 19 Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga. 20 Oleh itu ingatlah: Untuk memasuki kerajaan syurga, kamu mestilah melaksanakan kehendak Allah lebih daripada guru Taurat dan orang Farisi.
21 ‘Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: “Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh orang akan dihakimi.” 22 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya “bodoh” akan dihumbankan ke dalam api neraka.
23 ‘Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mazbah lalu teringat bahawa saudaramu bersanggit hati denganmu, 24 tinggalkanlah persembahanmu, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah buat persembahanmu.
25 ‘Berdamailah dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim, kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai berkenaan, yang akan memenjarakanmu. 26 Sudah pasti kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.
Berzina
27 ‘Kamu telah mendengar ajaran ini: “Jangan berzina.” 28 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati. 29 Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka. 30 Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka.
Perceraian
31 ‘Ada ajaran demikian: “Sesiapa menceraikan isterinya hendaklah memberinya surat cerai.” 32 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana zina, orang itu menyebabkan wanita tersebut berzina jika berkahwin lagi; dan sesiapa yang berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu berzina juga.
Membuat sumpah
33 ‘Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: “Jangan melanggar sumpah. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.” 34 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah. 35 Jangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Baitulmaqdis, kerana itu kota Raja Agung iaitu Allah. 36 Demi kepalamu pun jangan, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan rambutmu walau sehelai. 37 Katakan saja “Ya” atau “Tidak” dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana.
Mata diganti mata
38 ‘Kamu telah mendengar ajaran begini: “Mata diganti dengan mata, gigi diganti dengan gigi.” 39 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu. Malah jika seseorang menampar pipi kananmu, palinglah pipi kirimu juga terhadapnya. 40 Jika seseorang hendak mendakwamu untuk mendapatkan bajumu, berikanlah jubahmu juga. 41 Jika sesiapa memaksamu berjalan sebatu dengannya, pergilah dua batu bersamanya. 42 Jika seseorang meminta sesuatu daripadamu, berikanlah. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripadamu, usahlah berpaling daripadanya.
Mengasihi musuhmu
43 ‘Kamu telah mendengar ajaran berikut: “Kasihilah sahabatmu dan bencilah musuhmu.” 44 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu. 45 Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga; kerana Allah menerbitkan matahari yang dicipta-Nya untuk orang yang benar dan orang yang mungkar. Dia menurunkan hujan untuk orang yang taat mahupun yang ingkar akan kehendak-Nya. 46 Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihimu, layakkah kamu mendapat ganjaran daripada Allah? Bukankah pemungut cukai pun berbuat demikian? 47 Jika kamu hanya beramah mesra dengan saudara-saudara selingkungan, apakah kelebihanmu daripada orang lain? Orang yang tidak mengenal Allah pun melakukannya. 48 Hendaklah engkau sempurna seperti Bapamu di syurga.