5
Penyembuhan di Baithasda
1 Setelah itu Isa pergi ke Baitulmaqdis pada masa suatu perayaan Yahudi. 2 Di sana, berdekatan Pintu Domba, ada sebuah kolam yang dipanggil Baithasda dalam bahasa Ibrani. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. 3 Di setiap serambi itu ramai orang sakit dan cacat berbaring – ada yang buta, ada yang tempang dan ada yang lumpuh – menunggu air kolam itu berkocak. 4 Sekali-sekala malaikat Tuhan akan turun mengocak air kolam itu. Sesiapa yang pertama masuk ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak akan sembuh daripada penyakitnya. 5 Di kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah sakit selama tiga puluh lapan tahun. 6 Isa melihatnya terbaring di situ dan mengetahui bahawa dia telah sakit demikian lamanya. Isa bertanya kepadanya, ‘Inginkah kamu sembuh?’
7 Orang sakit itu menjawab, ‘Tuan, tiada siapapun di sini yang dapat memasukkan aku ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak. Setiap kali aku cuba masuk, orang lain telah masuk dulu.’
8 Isa berkata kepadanya, ‘Bangun, angkat tikarmu, dan berjalanlah.’ 9 Serta-merta orang itu sembuh lalu mengangkat tikarnya dan berjalan. Perkara itu terjadi pada hari Sabat.
10 Oleh yang demikian, orang Yahudi berkata kepada orang itu, ‘Ini hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar.’
11 Orang itu menjawab, ‘Orang yang menyembuhkanku tadi menyuruh aku mengangkat tikar dan berjalan.’
12 Mereka pun bertanya, ‘Siapakah Dia yang menyuruhmu mengangkat tikar dan berjalan itu?’
13 Akan tetapi orang yang baru disembuhkan itu tidak dapat menunjukkan yang mana orangnya, kerana Isa telah menghilang di antara orang ramai di situ.
14 Tidak lama selepas itu, Isa bertemu dengan orang itu di dalam rumah ibadat dan berkata kepadanya, ‘Sekarang kamu sudah sembuh. Jangan berbuat dosa lagi, supaya kamu tidak menerima padah yang lebih teruk.’ 15 Orang itu kemudiannya memberitahu orang Yahudi bahawa Isalah yang telah menyembuhkannya.
16 Dengan demikian, mereka mula memusuhi Isa kerana menyembuhkan orang pada hari Sabat. 17 Namun, Isa berkata kepada mereka, ‘Bapa-Ku masih bekerja hingga sekarang, maka begitulah juga Aku.’ 18 Kata-kata-Nya ini mengukuhkan lagi niat orang Yahudi hendak membunuh-Nya. Bukan sahaja Dia melanggar hukum hari Sabat, malah juga mengatakan Allah itu Bapa-Nya, iaitu menyamakan diri-Nya dengan Allah.
Kesaksian Isa tentang diri-Nya
19 Isa menjawab kata-kata mereka, ‘Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, Putera tidak dapat melakukan sesuatu oleh diri-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Putera, 20 kerana Bapa kasih akan Putera dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada Putera-Nya. Bapa akan menyatakan hal-hal yang lebih besar lagi kepada Putera, sehingga kamu semua menjadi hairan. 21 Bapa membangkitkan manusia daripada kematian dan memberi hidup, maka demikian jugalah Putera-Nya memberi hidup kepada mereka yang dikehendaki-Nya. 22 Bapa tidak menghakimi sesiapa. Dia telah menyerahkan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya. 23 Dengan demikian, semua orang menghormati Putera sebagaimana mereka menghormati Bapa. Jika sesiapa tidak menghormati Putera, ertinya dia tidak menghormati Bapa yang mengutus-Nya.
24 ‘Sesungguhnya aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar.
Dua jenis kebangkitan
25 ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, akan tiba saatnya, malah sudahpun sampai, ketika orang mati mendengar suara Putera Allah, dan orang yang mendengar suara-Nya akan hidup. 26 Bapa sumber hidup, maka Dia menjadikan Putera-Nya juga sumber hidup. 27 Bapa telah memberikan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya, kerana Dia itu Putera Insan.
28 ‘Janganlah hairan mendengar hal ini kerana akan sampai saatnya bagi semua orang mati mendengar suara-Nya. 29 Mereka akan terus bangkit dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit untuk mendapat hidup kekal dan orang yang berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum. 30 Aku tidak dapat melakukan sesuatu pun atas usaha-Ku sendiri. Aku menghakimi manusia menurut perintah Allah. Penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.
31 ‘Jika Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku sendiri, itu tidaklah wajar diterima sebagai bukti yang sah. 32 Ada lain yang memberi kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian yang disampaikan-Nya tentang-Ku itu benar.
Kesaksian Yahya
33 ‘Kamu telah mengutus orang untuk berjumpa dengan Yahya, dan dia telah memberikan kesaksian yang benar. 34 Sebenarnya Aku tidak memerlukan kesaksian manusia. Aku menyebutnya supaya kamu percaya dan dapat diselamatkan. 35 Yahya ibarat pelita yang menyala dan bercahaya. Bagi seketika lamanya, kamu memilih untuk menikmati cahayanya.
36 ‘Tetapi kesaksian-Ku lebih besar daripada kesaksian Yahya. Aku melakukan apa yang ditugaskan oleh Bapa-Ku, dan hal ini membuktikan bahawa Bapa telah mengutus-Ku. 37 Bapa yang mengutus-Ku dan memberikan kesakian tentang diri-Ku ini belum pernah kamu dengar suara-Nya atau lihat wajah-Nya. 38 Firman Tuhan tidak menetap dalam dirimu kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus Bapa.
Kesaksian Kitab
39 ‘Kamu mengkaji Kitab Suci dengan tekun kerana kamu percaya dalamnya kamu mendapat hidup kekal. Sebenarnya Kitab Suci memberikan kesaksian tentang diri-Ku. 40 Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku untuk mendapatkan hidup kekal.
41 ‘Aku tidak mengharapkan pujian daripada manusia. 42 Aku mengenalmu. Aku tahu kamu sebenarnya tidak mengasihi Allah. 43 Aku datang atas nama Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menyambut-Ku. Namun, ketika orang lain datang atas namanya sendiri, kamu menyambutnya. 44 Bagaimana kamu mungkin percaya kepada-Ku, sedangkan kamu mencari pujian sesama sendiri? Kamu tidak berusaha mendapatkan pujian daripada Allah Yang Esa.
45 ‘Jangan sangka Aku akan menuduhmu di hadapan Bapa. Musa yang kamu harapkan itulah yang akan menuduhmu. 46 Sekiranya benar kamu percaya kepada Musa, tentulah kamu percaya kepada-Ku, kerana Musa telah menulis tentang diri-Ku. 47 Kamu tidak percaya akan apa yang ditulis oleh Musa, maka bagaimana kamu mungkin percaya akan apa yang Kukatakan?’