13
Nasihat akhir
Pastikan kasih persaudaraan berpanjangan. Jangan lupa meraikan orang asing, kerana dengan berbuat demikian ada orang yang telah meraikan para malaikat tanpa mengetahuinya. Ingatlah kepada orang yang terpenjara seolah-olah kamu terantai bersama mereka; kenanglah orang yang dianiaya seolah-olah kamu juga dianiaya, kerana kamu dan mereka adalah satu.
Hendaklah perkahwinan dianggap mulia oleh semua, dan tempat tidur dijaga supaya tidak tercemar kerana Allah akan menghukum penzina baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin dan mengkhianati pasangannya. Jaga kelakuanmu supaya jangan mengejar kebendaan; kamu harus merasa cukup dengan apa yang ada padamu. Dia Sendiri telah berjanji:
 
‘Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu
Aku tidak sekali-kali akan
membiarkanmu.’
 
Oleh itu kita boleh berkata dengan bersemangat:
 
‘Tuhan Penolongku; Aku tidak akan takut.
Apa yang dapat dilakukan manusia
kepadaku?’
Ingatlah mereka yang menjadi ketuamu yang telah menyampaikan firman Allah kepadamu. Teladani iman mereka, perhatikan hasil jalan hidup mereka. Isa al-Masih tetap sama kelmarin, hari ini dan selama-lamanya.
Jangan terikut-ikut pelbagai ajaran yang berlainan daripada ajaran yang benar. Tetapkan hati dengan kasih kurnia Allah, bukan dengan makanan yang tidak menguntungkan mereka yang asyik dengannya. 10 Kita mempunyai tempat persembahan di mana orang yang menjalankan ibadat khemah tidak berhak makan sesuatu daripadanya.
11 Bangkai semua binatang, yang darahnya dibawa masuk ke tempat suci oleh Imam Besar untuk menebus dosa, dibakar di luar perkhemahan. 12 Oleh itu Isa juga, untuk menyucikan umat manusia dengan darah-Nya sendiri, menderita di luar pintu gerbang. 13 Dengan demikian marilah kita pergi mendapatkan-Nya, di luar perkhemahan, dan menanggung celaan yang dideritai-Nya. 14 Di sini kita tidak ada kota kekal, tetapi kita berusaha mendapatkan kota yang akan datang.
Korban yang diredai Allah
15 Oleh itu melalui-Nya marilah kita terus-menerus mempersembahkan korban iaitu pujian kepada Allah, sebagai buah-buahan hasil bibir kita, sambil bersyukur kepada nama-Nya. 16 Tetapi jangan lupa berbuat baik dan berkongsi, kerana korban demikianlah yang diredai Allah.
17 Taati ketua-ketuamu, dan hendaklah kamu bersikap patuh, kerana mereka mengawasi keselamatan rohanimu, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan kelak atas perlakuanmu. Pastikanlah bahawa mereka melakukannya dengan sukacita, bukan dengan dukacita kerana itu tidak akan membawa keuntungan kepadamu.
18 Doakanlah kami; kerana kami yakin hati nurani kami bersih, ingin hidup bermaruah dalam segala hal. 19 Tetapi aku terutamanya mendesakmu berbuat demikian, supaya aku dikembalikan ke kalanganmu lebih awal.
Doa berkat
20 Semoga Allah Tuhan kesejahteraan yang telah membangkitkan Junjungan kita Isa daripada kematian, Gembala yang mulia itu, melalui darah perjanjian kekal, 21 melengkapkan kamu dalam setiap kerja kebajikan untuk melakukan kehendak-Nya, mengusahakan dalam dirimu apa yang diredai-Nya, melalui Isa al-Masih, bagi-Nya kemuliaan selama-lamanya. Amin.
22 Aku merayu kepadamu, saudara-saudara, dengarlah nasihatku ini dengan sabar, kerana aku menulis ringkas sahaja kepadamu.
23 Ketahuilah bahawa saudara kita Timotius telah dibebaskan. Aku akan menemui kamu bersamanya jika dia datang segera.
24 Sampaikan salamku kepada semua ketuamu dan saudara seiman kita. Saudara-saudara dari Itali berkirim salam kepadamu.
25 Semoga kasih kurnia Allah menyertai kamu sekalian. Amin.