9
Ibadat di bumi dan di syurga
Perjanjian pertama itu mempunyai rukun-rukun ibadat dan tempat suci di bumi. Suatu khemah telah disediakan: di bahagian pertama terdapat kaki pelita, meja dan persembahan roti; ini disebut Tempat Suci. Di balik tirai kedua ialah bahagian khemah yang disebut Tempat Paling Suci. Di situ terdapat perasapan emas, peti perjanjian yang bersalut emas, bokor emas yang berisi manna, tongkat Harun yang bertunas, dan loh-loh perjanjian. Di atasnya kerub kemuliaan yang menaungi tempat belas kasihan. Perkara ini tidak dapat diperkatakan satu persatu sekarang.
Setelah segala ini disediakan, imam-imam sentiasa masuk ke bahagian pertama khemah itu dan menyempurnakan ibadatnya. Tetapi ke bahagian kedua, Imam Besar masuk seorang diri setahun sekali sahaja, tidak boleh tidak membawa darah, yang dipersembahkannya untuk dosa dirinya dan untuk dosa orang lain yang dilakukan akibat kejahilan. Roh Suci membayangkan bahawa jalan masuk ke Tempat Paling Suci tidak dinyatakan selagi bahagian pertama khemah masih tetap berdiri. Ini melambangkan zaman ini, ketika persembahan dan korban dipersembahkan tetapi tidak menjadikan orang yang menjalankan ibadat itu sempurna dari segi hati nurani. 10 Semua ini hanya soal makanan dan minuman, pelbagai upacara pembasuhan iaitu peraturan-peraturan lahiriah yang dikenakan hingga sampai masa pembaharuan.
Al-Masih Pengantara manusia
11 Tetapi al-Masih datang sebagai Imam Besar bagi perkara-perkara baik yang akan datang, dengan khemah yang lebih besar dan lebih sempurna, yang bukan buatan manusia, bukan sebahagian daripada kejadian alam. 12 Bukan dengan darah kambing atau anak lembu, tetapi dengan darah-Nya sendiri, Dia masuk ke dalam Tempat Paling Suci, sekali untuk selama-lamanya, kerana Dia mendapatkan penebusan yang kekal. 13 Jika darah lembu jantan dan kambing serta abu lembu betina muda yang direnjiskan ke atas orang bernajis dapat menyucikan badannya, 14 lebih-lebih lagilah darah al-Masih, yang melalui Roh kekal mempersembahkan diri-Nya tanpa cela kepada Allah, menyucikan hati nuranimu daripada perbuatan yang mati supaya kamu dapat beribadat kepada Allah yang hidup.
15 Itulah sebabnya Dia menjadi Pengantara bagi perjanjian baru, melalui kematian, untuk menebus kesalahan di bawah perjanjian pertama, supaya mereka yang dipanggil dapat menerima janji warisan yang kekal.
16 Apabila ada wasiat, semestinya ada kematian pewasiat. 17 Wasiat berkuatkuasa selepas kematian seseorang, kerana langsung tiada kuasanya selagi pewasiat masih hidup. 18 Perjanjian pertama itupun tidaklah ditentukan tanpa darah. 19 Setelah Musa menyampaikan segala ajaran kepada semua orang menurut hukum Taurat, dia mengambil darah anak lembu dan kambing, dengan air, bulu domba berwarna merah dan zufa, lalu merenjiskan ke atas kitab serta semua orang, 20 sambil berkata: ‘Ini darah bagi perjanjian yang telah diperintahkan Allah kepadamu.’ 21 Selepas itu dia merenjiskan juga darah ke atas khemah dan segala alat ibadat. 22 Menurut hukum Taurat hampir segala-galanya disucikan dengan darah, dan tanpa darah tidak ada pengampunan.
23 Salinan segala yang terdapat di syurga perlu disucikan dengan ini, tetapi segala yang di syurga itu sendiri memerlukan korban yang lebih mulia. 24 Al-Masih tidaklah masuk ke tempat suci yang dibuat dengan tangan manusia, iaitu salinan tempat suci sejati. Dia telah masuk ke syurga itu sendiri, ke hadirat Allah untuk kita. 25 Dia tidak perlu mempersembahkan diri-Nya berkali-kali, sebagaimana Imam Besar masuk ke Tempat Paling Suci setiap tahun dengan membawa darah makhluk lain. 26 Andainya demikian, terpaksalah Dia menderita berkali-kali sejak permulaan dunia. Dia tampil sekali sahaja, sewaktu akhir zaman ini, untuk menghapuskan dosa dengan mengorbankan diri-Nya. 27 Sebagaimana manusia ditentukan mati sekali, dan selepas itu dihakimkan, 28 begitulah al-Masih telah dikorbankan sekali untuk dosa semua manusia. Kepada mereka yang menunggu-Nya dengan penuh pengharapan, Dia akan datang bagi kali kedua, bukan untuk menanggung dosa tetapi untuk menyelamatkan mereka.