6
1 Dengan demikian, marilah kita tinggalkan perbincangan asas ajaran tentang al-Masih dan terus beralih kepada kesempurnaan. Usahlah kita letakkan asas lagi, iaitu taubat daripada perbuatan yang sia-sia, dan beriman kepada Allah, 2 ajaran tentang pengimadan, meletakkan tangan, kebangkitan daripada kematian, dan hukuman yang kekal. 3 Kita akan melakukannya jika Allah mengizinkan.
4 Bagi orang yang pernah mengenal kebenaran, telah mengecap pemberian dari syurga, telah menerima Roh Suci, 5 telah merasakan kebaikan firman Allah dan kuasa zaman akan datang, 6 jika mereka berpaling, mustahil untuk membawa mereka bertaubat semula, kerana mereka telah menyalib Putera Allah sekali lagi bagi diri mereka serta memalukan-Nya di mata orang ramai.
7 Tanah yang menghirup air hujan yang sering menimpanya, lalu mengeluarkan tanam-tanaman yang berguna bagi orang, adalah diberkati Allah. 8 Sebaliknya, jika tanah itu mengeluarkan duri dan lalang, maka ia disingkirkan serta hampir dilaknat, dan akhirnya dibakar.
Berdiri teguh dalam iman
9 Namun, saudara-saudara yang dikasihi, sungguhpun kami berkata demikian, kami yakin bahawa perkara yang lebih baik akan berlaku kepadamu, ya, perkara yang mengiringi penyelamatan. 10 Allah sentiasa adil dan tidak akan melupakan kerja serta usaha kasih yang telah kamu tunjukkan untuk nama-Nya, iaitu kamu telah dan sedang melayan orang yang salih. 11 Kami mahu setiap seorang daripada kamu menunjukkan kesungguhan usaha yang sama untuk memberi sepenuh keyakinan terhadap harapan kita hingga ke akhir. 12 Janganlah kamu menjadi lembap; teladani mereka yang mewarisi janji itu melalui iman dan kesabaran.
13 Apabila Allah berjanji kepada Ibrahim, Dia tidak mungkin bersumpah dengan nama lain kerana tiada siapa lebih besar daripada-Nya, lalu Dia bersumpah dengan nama-Nya sendiri. 14 Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku akan memberkatimu dan memperbanyak keturunanmu.’ 15 Dengan demikian, setelah Ibrahim menanggung kesusahan dengan sabar, dia mendapat janji itu.
16 Orang memang bersumpah dengan nama yang lebih besar daripada dirinya, dan suatu sumpah sebagai pengesahan mengakhiri segala pertikaian. 17 Dengan demikian Allah, untuk menunjukkan kepada waris-waris janji itu bahawa kehendak-Nya tidak mungkin berubah, telah mengesahkannya dengan sumpah. 18 Dengan adanya dua perkara yang tidak mungkin berubah, sedangkan Allah tidak mungkin berdusta, maka hati kita tetap. Kita telah lari mencari tempat berlindung untuk berpegang kepada harapan yang dihulurkan kepada kita. 19 Kita mempunyai harapan ini sebagai sauh kepada jiwa kita, tetap dan teguh, dan masuk sampai ke balik tirai. 20 Di situ perintis jalan telah masuk untuk kita, iaitu Isa, yang telah menjadi Imam Besar untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.