4
Hari rehat yang disediakan Allah
1 Dengan demikian, oleh sebab janji untuk masuk ke dalam rehat-Nya tetap wujud, kita haruslah bimbang kalau-kalau ada di antaramu yang dikira tidak layak. 2 Injil telah disampaikan kepada kita dan kepada mereka; tetapi firman yang mereka dengar tidak menguntungkan mereka kerana tidak berpadu dengan iman. 3 Kita yang telah beriman memang masuk ke dalam rehat itu, sebagaimana firman-Nya:
‘Maka Aku bersumpah dalam
kemurkaan-Ku,
“mereka tidak akan masuk ke
dalam rehat-Ku,” ’
walaupun pekerjaan-Nya telah selesai sejak dunia diasaskan. 4 Allah telah berfirman demikian di suatu tempat tentang hari ketujuh: ‘Dan Allah berehat pada hari ketujuh daripada segala pekerjaan-Nya.’; 5 Kemudian di sini pula: ‘Mereka tidak akan masuk ke dalam rehat-Ku.’ 6 Memandangkan sebilangan manusia pasti masuk ke dalam rehat itu, dan mereka yang terlebih dahulu mendengar Injil tidak masuk disebabkan mereka ingkar, 7 maka Dia menetapkan satu hari lain, dalam firman-Nya kepada Daud, ‘Hari ini,’ setelah sekian lama, iaitu:
‘Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya,
jangan keraskan hatimu.’
8 Andainya Yusak telah memberikan rehat kepada mereka, Dia tidak akan berfirman kemudian tentang satu hari lain. 9 Oleh itu masih ada rehat-Sabat untuk umat Allah. 10 Orang yang telah masuk ke dalam rehat-Nya juga telah berhenti daripada pekerjaannya, sebagaimana Allah telah berhenti daripada pekerjaan-Nya. 11 Jadi, marilah kita berusaha untuk masuk ke dalam rehat itu, supaya jangan ada yang gagal kerana mengikut contoh mereka yang ingkar.
12 Firman Allah hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang dua mata, menembusi ke garis pemisah nyawa dan roh, sendi dan sumsum, serta mengenal antara fikiran dan niat di hati. 13 Tidak ada makhluk yang terlindung daripada penglihatan-Nya. Segala-galanya terdedah dan terbuka kepada mata Allah; kepada-Nya nanti kita dipertanggungkan tentang segala perlakuan kita.
Isa Imam Besar
14 Memandangkan kita mempunyai Imam Besar yang agung yang telah melalui syurga, iaitu Isa Putera Allah, marilah kita berpegang teguh kepada pengakuan kita. 15 Kita tidaklah mempunyai Imam Besar yang tidak dapat merasakan kelemahan kita. Sebaliknya dalam segala hal Dia telah menghadapi godaan seperti yang kita hadapi, tetapi Dia tidak melakukan dosa. 16 Oleh itu marilah kita tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya.