2
Manusia keleluasaan
Sekarang, saudara-saudaraku, tentang kedatangan Junjungan kita Isa al-Masih dan betapa kita akan dikumpulkan bersama-Nya kelak, kami menyerumu, janganlah kamu mudah keliru atau goyah jika orang berkata hari Tuhan sudah tiba kerana kononnya kami yang mengatakan begitu melalui nubuat, ajaran atau surat. Jangan sekali-kali biarkan sesiapa memperdayamu kerana hari itu tidak akan datang sebelum berlakunya kemurtadan dan manusia keleluasaan, iaitu anak kebinasaan menampilkan diri. Dia akan menentang dan meninggikan dirinya daripada semua yang disembah manusia. Dia akan duduk di dalam rumah ibadat Allah dan mengisytiharkan dirinya sebagai Allah.
Ingatkah kamu ketika aku masih bersamamu dahulu, aku telah memberitahumu segala ini? Kini kamu tahu apa yang menahannya sekarang, iaitu manusia itu akan tampil pada waktu yang telah ditentukan baginya. Kuasa rahsia keleluasaan sudahpun mula bertindak. Hanya yang menahannya sekarang akan terus berbuat demikian sehingga disingkirkan. Kemudian manusia leluasa itu akan ternyata dan Junjungan Isa akan membunuhnya dengan hembusan nafas dari mulut-Nya dan membinasakannya dengan sinar gemilang kedatangan-Nya. Datangnya manusia leluasa itu adalah hasil usaha Iblis, dengan membawa kuasa, alamat dan keajaiban palsu, 10 serta tipu helah durjana untuk menyesatkan orang yang binasa kerana mereka enggan menerima dan mengasihi kebenaran yang dapat menyelamatkan mereka. 11 Oleh yang demikian Allah menghantar pengaruh yang akan menyesatkan mereka sehingga mereka mempercayai apa yang tidak benar. 12 Dengan itu semua yang tidak mempercayai apa yang benar dan gembira melakukan perkara yang salah akan dihukum.
Berdiri dengan kukuh
13 Tetapi kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu, saudara-saudara yang dikasihi oleh Tuhan, kerana dari mulanya Allah telah memilih kamu untuk diselamatkan melalui penyucian dengan Roh Suci dan kepercayaan terhadap apa yang benar. 14 Allah memanggil kamu melalui Injil yang kami sampaikan kepadamu, supaya mendapat kemuliaan Junjungan kita Isa al-Masih. 15 Oleh itu, saudara-saudaraku, berdirilah dengan kukuh dan berpegang teguh kepada segala ajaran yang telah kami sampaikan secara lisan atau melalui surat.
16 Semoga Junjungan kita Isa al-Masih sendiri dan Allah Bapa kita, yang mengasihi kita dan menetapkan hati serta meneguhkan harapan kita selama-lamanya dengan kasih kurnia-Nya, 17 memberimu perangsang dan kekuatan untuk berbuat dan mengatakan yang baik.