3
Apabila kami tidak tertahan lagi, kami membuat keputusan untuk tinggal seorang diri di Atena. Sementara itu kami mengutus Timotius, saudara kami dan rakan sekerja Allah dalam Injil al-Masih, untuk menetapkan hatimu dan meneguhkan imanmu, supaya tiada seorang pun daripadamu goyah pendirian akibat penganiayaan itu. Kamu tahu bahawa ini sudah ditentukan untuk kita. Sewaktu kami bersamamu dulu, kami telah pun menyatakan bahawa kita akan dianiaya. Kini kamu telah melihat bahawa penganiayaan itu benar-benar berlaku. Aku telah mengutus Timotius kepadamu kerana terlalu ingin mengetahui bagaimana keadaan imanmu. Aku bimbang kalau-kalau si penggoda telah menggodamu sehingga usaha kami sia-sia belaka.
Laporan Timotius
Sekarang Timotius telah pulang membawa khabar baik tentang iman dan kasihmu. Dia memberitahu bahawa kamu sentiasa mengenang mesra terhadap kami serta ingin menemui kami sebagaimana kami ingin menemuimu. Oleh itu, saudara-saudara, di tengah-tengah kesusahan dan kesengsaraan, hati kami terhibur oleh berita tentang imanmu. Kerana kini kami benar-benar hidup, memandangkan kamu tetap berdiri teguh di dalam Junjungan. Bagaimanakah kami harus bersyukur kepada Allah atas segala kegembiraan yang kami rasakan kerana kamu di hadapan Allah Tuhan kita? 10 Siang malam kami berdoa sepenuh hati semoga kami dapat menemuimu dan melengkapkan apa yang masih kurang dalam imanmu.
11 Semoga Allah Bapa kita dan Isa, Junjungan kita melorongkan pertemuan kita. 12 Semoga Tuhan menjadikanmu semakin kasih-mengasihi dan semakin mengasihi sesama manusia sebagaimana kami mengasihimu. 13 Dengan demikian Tuhan akan memperteguhkan hatimu sehingga kamu menjadi suci, tiada cacat cela di hadapan Allah Bapa kita semasa Junjungan kita Isa datang dengan semua pengikutnya yang salih.