Markus
1
Nabi Yahya
Inilah permulaan Injil tentang Isa al-Masih, Putera Allah,
Seperti yang tersurat dalam nubuat Nabi Yasyaya:
‘Lihatlah, Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu,
dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu’
‘satu suara berseru di gurun,
“Sediakanlah jalan bagi Tuhan,
luruskanlah jalan bagi-Nya.” ’
 
Demikianlah Yahya muncul di gurun, mengimadkan orang dan mengkhabarkan firman – bertaubatlah dan datanglah untuk diimadkan, supaya Allah mengampunkan dosamu. Ramailah orang yang datang dari Yudea dan Baitulmaqdis untuk mendengar kata-kata Yahya. Mereka mengakui dosa mereka lalu Yahya mengimadkan mereka di Sungai Yordan. Yahya berpakaian yang dibuat daripada bulu unta dengan tali pinggang daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun. Inilah beritanya: ‘Seorang yang lebih besar daripadaku akan datang selepasku. Tali kasut-Nya pun tidak layak kuurai. Aku mengimadkanmu dengan air, tetapi Dia akan mengimadkanmu dengan Roh Suci.’
Yahya mengimadkan Isa
Kemudian Isa datang dari Nasaret di Galilea, lalu diimadkan oleh Yahya di Sungai Yordan. 10 Ketika Isa keluar dari sungai itu, Dia melihat langit terbuka dan Roh Suci seperti burung merpati turun hinggap ke atas-Nya. 11 Lalu kedengaran suara dari syurga: ‘Engkaulah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.’
12 Lantas, Roh Suci memimpin Isa ke gurun. 13 Isa di situ selama empat puluh hari dan digoda oleh Iblis serta dikelilingi binatang liar. Para malaikat datang melayani-Nya.
Pengikut Isa yang pertama
14 Setelah Yahya dipenjarakan, Isa pergi ke Galilea lalu mengkhabarkan Injil daripada Allah. 15 Isa berkata, ‘Sudah genap masanya dan kerajaan Allah hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini!’
16 Ketika Isa sedang berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia terpandang dua orang nelayan, Simon dan saudaranya Andreas, sedang menjala ikan. 17 Isa berkata kepada mereka, ‘Ikutlah Aku. Aku akan menjadikan kamu penjala insan.’ 18 Mereka terus meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya.
19 Sejurus berjalan, Isa melihat dua orang lagi adik-beradik, bernama Yakobus dan Yahya, anak Zebedeus. Mereka sedang duduk mengemaskan jala di dalam perahu. 20 Isa terus memanggil mereka. Kedua-dua beradik itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Isa.
Isa membentak roh durjana
21 Isa dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Isa masuk ke saumaah lalu mengajar. 22 Semua yang mendengar-Nya kagum kerana Dia mengajar dengan penuh kewibawaan, berbeza dari guru-guru Taurat. 23 Ketika itu seorang yang dirasuk roh durjana berada di saumaah. Dia berseru: 24 ‘Apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Isa orang Nasaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau. Engkau Yang Suci daripada Allah!’
25 Isa membentak roh itu, ‘Diam! Keluar daripada orang ini!’ 26 Roh durjana itu menggoncang-goncang tubuh orang yang dirasuknya lalu keluar sambil menjerit.
27 Hal ini menyebabkan semua orang tercengang lalu berbisik sesama sendiri, ‘Adakah ini suatu ajaran baru? Dia memerintah roh-roh durjana dengan penuh kuasa dan mereka menurut kata-Nya.’ 28 Dengan demikian, khabar tentang Isa segera tersebar ke seluruh Galilea.
Isa menyembuhkan ramai orang
29 Isa dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yahya, keluar dari saumaah itu lalu ke tempat kediaman Simon dan Andreas. 30 Ibu mertua Simon sedang demam terbaring di tempat tidur. Setibanya Isa di situ, Dia diberitahu tentang hal itu. 31 Isa menghampiri ibu mertua Simon, memegang tangannya dan menolongnya bangun. Demam wanita itu hilang lalu dia melayani mereka.
32 Apabila malam menjelang, semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa. 33 Semua penduduk kota berhimpun di hadapan rumah itu. 34 Isa menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit. Dia juga menghalau roh-roh iblis sambil memerintahkan mereka diam kerana mereka tahu siapa Dia.
Isa mengajar di kota-kota lain
35 Keesokannya, pada waktu subuh, Isa bangun lalu pergi ke luar kota ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. 36 Simon dan rakan-rakannya pergi mencari Isa. 37 Setelah menjumpai-Nya, mereka berkata: ‘Semua orang sedang mencari-Mu!’
38 Isa berkata, ‘Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Kerana tujuan inilah, maka Aku datang.’ 39 Lalu Isa menjelajah ke serata Galilea, mengajar di saumaah dan menghalau roh-roh iblis.
Isa menyembuhkan seorang yang sakit kusta
40 Seorang yang menghidap penyakit kusta datang kepada Isa lalu berlutut meminta pertolongan-Nya. Katanya, ‘Jika Engkau mahu, Engkau dapat mentahirkanku.’
41 Isa berbelas kasihan lalu menghulurkan tangan-Nya menyentuh orang itu sambil berkata, ‘Aku mahu. Tahirlah!’ 42 Pada saat itu juga orang itu ditahirkan daripada penyakit kusta.
43 Isa menyuruhnya pergi dengan memberi suatu peringatan keras: 44 ‘Dengar baik-baik. Jangan beritahu sesiapapun hal ini. Tetapi pergi kepada imam, kemudian persembahkan korban sebagaimana diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada mereka bahawa kamu benar-benar sudah ditahirkan.’ 45 Tetapi orang itu menyebarkan hal itu merata-rata dan terus-menerus, sehingga Isa tidak dapat masuk ke bandar terang-terangan. Isa tinggal di luar kota di tempat-tempat yang lengang, namun orang dari pelbagai kawasan datang kepada-Nya.