Wahyu
1
Pendahuluan
Inilah wahyu Isa al-Masih yang dinyatakan Allah kepada-Nya supaya Dia menyampaikan kepada hamba-hamba-Nya segala yang pasti segera terjadi. Al-Masih menghantarkan malaikat-Nya untuk memberitahu perkara-perkara itu kepada hamba-Nya Yahya. Maka Yahya pun bersaksi tentang semua yang telah dilihatnya iaitu Firman Allah dan kesaksian Isa al-Masih. Diberkatilah orang yang membaca kata-kata nubuat ini dan mendengarnya serta mematuhi apa yang tersurat di dalamnya, kerana masanya sudah dekat.
Salam kepada tujuh jemaah
Daripada Yahya kepada tujuh jemaah di Asia Kecil:
 
Kasih kurnia dan kesejahteraan kepadamu daripada Allah, iaitu Dia yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang, juga daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya, dan daripada Isa al-Masih, Saksi Setia. Dialah yang pertama dibangkitkan dari kalangan orang mati dan Dialah Raja kepada sekalian raja dunia.
 
Isa mengasihi kita, maka Dia membebaskan kita daripada segala dosa kita dengan darah-Nya serta menjadikan kita suatu kerajaan, dan imam-imam bagi Allah Tuhan-Nya dan Bapa-Nya. Bagi-Nyalah kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.
 
Lihatlah, Dia datang dalam awan! Seluruh umat manusia akan melihat-Nya, termasuk mereka yang telah menikam Dia. Semua bangsa di bumi akan berkabung kerana Dia. Ya, tentu sekali. Amin.
 
‘Akulah Alif dan Ya, yang pertama dan yang terakhir,’ demikian firman Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa, yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang.
Penglihatan di Patmos
Aku, Yahya, saudara dan teman senasibmu dalam kesengsaraan, kerajaan dan ketabahan dalam Isa, berada di pulau Patmos kerana firman Allah dan kesaksian Isa. 10 Pada hari Tuhan, Roh menguasaiku, lalu aku mendengar suara yang lantang, seperti bunyi sangkakala, berkata-kata di belakangku. 11 Suara itu berkata, ‘Tuliskanlah apa yang kaulihat dan hantarkan kitab itu kepada tujuh jemaah: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia dan Laodikia.
12 Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata itu. Kulihat tujuh kaki pelita daripada emas. 13 Di tengah-tengah kaki pelita itu kelihatan suatu lembaga seakan-akan putera insan, berjubah labuh sampai ke kaki dan memakai seutas pending emas yang meliliti dada-Nya. 14 Rambut-Nya putih seperti kapas dan mata-Nya menyala-nyala laksana api. 15 Kaki-Nya bersinar umpama gangsa digilap dan suara-Nya ibarat deru air terjun yang hebat. 16 Tangan kanan-Nya memegang tujuh bintang dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang mata dua yang tajam. Wajah-Nya bersinar-sinar laksana matahari pada waktu tengah hari.
17 Apabila aku melihat-Nya, rebahlah aku di kaki-Nya seolah-olah tidak bernyawa lagi. Dia meletakkan tangan kanan-Nya ke atasku lalu berfirman, ‘Janganlah takut! Akulah yang pertama dan yang terakhir. 18 Akulah Dia yang hidup. Aku pernah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku memegang anak kunci kematian dan alam maut.
19 ‘Oleh itu, tuliskanlah segala yang kaulihat, baik yang ada sekarang mahupun yang akan terjadi. 20 Inilah maksud perlambangan tujuh bintang yang kaulihat di tangan kanan-Ku dan tujuh kaki pelita daripada emas itu. Tujuh bintang itu melambangkan para malaikat jemaah di tujuh tempat itu manakala tujuh kaki pelita itu melambangkan jemaah di situ.’