3
1 Raja Daud, ayahanda Raja Salomo, telah menyediakan tapak bagi Rumah TUHAN. Tapak itu di Yerusalem, di atas Bukit Moria, yang telah digunakan oleh Arauna, orang Yebusi itu, sebagai tempat mengirik gandum. Di situ TUHAN telah menyatakan diri kepada Raja Daud. Raja Salomo memulakan pembinaan
2 pada bulan kedua tahun keempat pemerintahannya.
3 Rumah TUHAN yang dibina oleh Raja Salomo itu panjangnya 27 meter dan lebarnya 9 meter.
4 Bilik depan lebarnya sama dengan lebar Rumah TUHAN, iaitu 9 meter, dan tingginya 54 meter. Bahagian dalam bilik itu dilapisi emas tulen.
5 Bilik utamanya dilapisi kayu sedar, lalu dilapis lagi dengan emas tua. Pada lapisan emas itu terdapat ukiran pokok-pokok palma dan untaian rantai.
6 Raja Salomo menghias Rumah TUHAN dengan batu-batu permata yang indah dan dengan emas yang diimport dari tanah Parwaim.
7 Baginda menggunakan emas itu untuk melapisi dinding-dinding, kasau-kasau, ambang-ambang pintu, dan pintu-pintu Rumah TUHAN. Pada dindingnya para pengukir mengukir gambar-gambar kerub.
8 Bilik sebelah dalam, yang disebut Bilik Maha Suci, panjangnya 9 meter, dan lebarnya juga 9 meter, iaitu selebar Rumah TUHAN. Dinding Bilik Maha Suci dilapisi emas yang beratnya lebih daripada 20 tan,
9 dan 570 gram emas digunakan untuk membuat paku. Dinding bilik-bilik di tingkat atas juga dilapisi emas.
10 Raja juga memerintah tukang-tukangnya untuk membuat dua buah patung kerub daripada logam, lalu melapisi kedua-duanya dengan emas, dan meletakkannya di Bilik Maha Suci.
11-13 Di situ patung-patung kerub itu didirikan dengan berdampingan dan menghadap pintu. Kedua-duanya mempunyai dua sayap, dan setiap sayap panjangnya 2.2 meter. Sayap-sayap itu terbentang sehingga hujungnya saling bersentuhan di tengah-tengah bilik, dan hujung di sebelah lain mengenai dinding di sebelah-menyebelah bilik itu. Sayap-sayap itu terbentang selebar 9 meter, iaitu selebar bilik itu.
14 Tirai untuk Bilik Maha Suci itu dibuat daripada kain linen dan kain-kain lain yang berwarna biru, ungu, dan merah; tirai itu bersulamkan gambar-gambar kerub.
Dua Batang Tiang Gangsa yang Besar
(1 Raj 7.15-22)
15 Raja membuat dua batang tiang gangsa, setiap satunya setinggi 15.5 meter. Tiang-tiang itu didirikan di hadapan Rumah TUHAN. Tiap-tiap tiang mempunyai satu kepala gangsa yang tingginya 2.2 meter.
16 Bahagian atas tiang-tiang itu dihiasi dengan untaian rantai yang dijalin dan seratus buah delima daripada gangsa.
17 Tiang-tiang itu didirikan di sebelah kanan dan kiri pintu Rumah TUHAN: yang di sebelah selatan dinamakan Yakhin dan yang di sebelah utara dinamakan Boas.