Raja Yoas, Raja Yehuda
(2 Raj 12.1-16)
24
Raja Yoas menjadi raja Yehuda ketika baginda berumur tujuh tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama empat puluh tahun. Bondanya ialah Zibya, yang berasal dari kota Bersyeba. Raja Yoas melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati TUHAN selama Imam Yoyada masih hidup. Yoyada memilih dua orang isteri bagi Raja Yoas, dan daripada mereka Raja Yoas mendapat putera dan puteri.
Selepas Raja Yoas memerintah selama beberapa waktu, baginda mengambil keputusan untuk memperbaiki Rumah TUHAN. Baginda memerintah para imam dan orang Lewi pergi ke kota-kota di Yehuda supaya mengumpulkan wang daripada seluruh rakyat sehingga cukup untuk memperbaiki Rumah TUHAN setiap tahun. Baginda memerintah mereka supaya bertindak dengan segera, tetapi orang Lewi berlambat-lambat. Oleh itu Raja Yoas memanggil Yoyada, pemimpin mereka dan bertanya, “Mengapa kamu tidak menyuruh orang Lewi pergi kepada penduduk Yehuda dan Yerusalem untuk mengumpulkan cukai yang dikenakan Musa, hamba TUHAN itu, bagi Khemah TUHAN?” +
Pada masa itu pengikut-pengikut Atalya, perempuan zalimf itu, telah merosakkan Rumah TUHAN dan banyak alat yang dikhususkan bagi Allah telah digunakan mereka untuk menyembah Baal.
Raja memerintah orang Lewi membuat sebuah peti, lalu meletakkannya di hadapan pintu gerbang Rumah TUHAN. Mereka memberitakan ke seluruh Yerusalem dan Yehuda, bahawa tiap-tiap orang mesti membawa cukai untuk TUHAN, seperti yang diwajibkan oleh Musa, hamba TUHAN itu, di padang gurun dahulu. 10 Rakyat dan pemimpin-pemimpin mereka suka akan cadangan itu, lalu membawa wang cukai mereka dan memenuhkan peti itu. 11 Tiap-tiap hari orang Lewi membawa peti itu kepada pegawai raja untuk diperiksa. Apabila peti itu sudah penuh, setiausaha raja dan wakil Imam Agung mengeluarkan wang itu lalu mengembalikan peti itu di tempatnya. Demikianlah mereka mengumpulkan wang yang banyak sekali.
12 Raja dan Yoyada menyerahkan wang itu kepada pegawai-pegawai yang mengurus pembaikan Rumah TUHAN. Para pegawai itu mengupah tukang batu, tukang kayu, dan tukang besi, untuk melakukan kerja pembaikan itu. 13 Semua tukang itu bekerja keras, dan mereka membaiki Rumah TUHAN sehingga menjadi kukuh dan baik seperti dahulu. 14 Setelah pekerjaan itu selesai, lebihan emas, dan perak itu diberikan kepada raja dan Yoyada. Emas dan perak itu digunakan untuk membuat perkakas-perkakas bagi Rumah TUHAN: alat-alat untuk upacara ibadat dan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga mangkuk-mangkuk, serta alat-alat lain.
Ajaran Imam Yoyada Tidak Diikuti
Selama Yoyada hidup, korban untuk menyenangkan hati TUHAND 15 Yoyada mencapai umur yang sangat lanjut dan meninggal ketika dia berumur 130 tahun. 16 Dia dikebumikan di makam diraja di Kota Daud, sebagai penghargaan bagi jasanya kepada Allah, Rumah TUHAN, dan umat Israel.
17 Tetapi setelah Yoyada meninggal, pemimpin-pemimpin Yehuda mempengaruhi Raja Yoas supaya mendengar nasihat mereka. 18 Oleh itu rakyat tidak lagi beribadat di Rumah TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Sebaliknya mereka mula menyembah berhala dan patung-patung Dewi Asyera. Dosa mereka itu menyebabkan TUHAN murka terhadap Yehuda dan Yerusalem. 19 TUHAN mengutus nabi-nabi untuk memberikan amaran kepada mereka supaya kembali mengabdi kepada-Nya, tetapi mereka tidak mahu mendengarkan. 20 Kemudian Roh Allah menguasai Zakharia anak Yoyada, imam itu. Zakharia berdiri di tempat yang dapat dilihat orang ramai, lalu berseru, “TUHAN Allah berfirman, ‘Mengapa kamu tidak taat kepada perintah-Ku sehingga mendatangkan bencana kepada diri kamu sendiri? Kamu telah meninggalkan Aku; oleh itu Aku juga meninggalkan kamu!’” 21 Raja Yoas ikut berpakat dengan rakyat untuk menentang Zakharia, maka dengan titah raja, rakyat merejam Zakharia di halaman Rumah TUHAN. + 22 Raja Yoas lupa akan jasa dan kesetiaan Yoyada, bapa Zakharia, kepada baginda. Kemudian baginda memberikan perintah supaya Zakharia dibunuh. Pada saat kematiannya, Zakharia berseru, “Semoga TUHAN melihat perbuatan kamu ini dan menghukum kamu!”
Akhir Pemerintahan Raja Yoas
23 Pada musim luruh tahun itu, tentera Siria menyerang Yehuda dan Yerusalem. Mereka membunuh semua pemimpin dan membawa banyak barang jarahan ke Damsyik. 24 Tentera Siria tidak besar, tetapi TUHAN membiarkan mereka mengalahkan tentera Yehuda yang lebih besar, kerana penduduk Yehuda telah meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Dengan cara itu Raja Yoas dihukum. 25 Raja Yoas luka parah. Apabila pasukan musuh mengundurkan diri, dua orang pegawai Raja Yoas bermuslihat terhadap baginda. Mereka membunuh Raja Yoas di tempat peraduannya untuk membalas dendam kematian anak lelakig Yoyada, imam itu. Raja Yoas dimakamkan di Kota Daud, tetapi bukan di makam diraja. ( 26 Orang yang bermuslihat terhadap Raja Yoas ialah Zabad dan Yozabad. Ibu Zabad ialah Simeat dari Amon, dan ibu Yozabad ialah Simrit dari Moab.) 27 Kisah tentang putera-putera Raja Yoas dan nubuat-nubuat yang tidak baik tentang dirinya, serta kisah tentang cara baginda membaiki Rumah TUHAN tercatat di dalam kitab Tafsiran Kitab Raja-Raja. Raja Amazia, putera Raja Yoas, menjadi raja menggantikan ayahandanya.
+ 24:6 Kel 30.11-16 f 24:7 perempuan zalim; atau yang dijadikannya zalim. D 24:14 Korban untuk menyenangkan hati TUHAN; Harfiah: Korban bakar. Lihat Kamus. selalu dipersembahkan di Rumah TUHAN. + 24:21 Mat 23.35; Luk 11.51 g 24:25 Beberapa buah naskhah terjemahan kuno: anak lelaki. Naskhah Ibrani: anak-anak lelaki.