Piala yang Hilang
44
Sementara itu Yusuf memerintah hamba yang mengurus rumah tangganya, “Isilah karung semua orang itu dengan gandum sebanyak yang dapat dibawa oleh mereka, dan letakkan wang masing-masing di atas gandum di dalam karung. Masukkan juga piala perakku ke dalam karung adik mereka yang bongsu, bersama dengan wang pembayaran gandumnya.” Hamba itu melaksanakan perintah Yusuf. Awal pagi esoknya, saudara-saudara itu berangkat pulang dengan keldai mereka. Setelah mereka pergi tidak berapa jauh dari kota itu, Yusuf berkata kepada pengurus rumah tangganya, “Cepatlah kejar mereka. Setelah kamu menyusul mereka, katakan kepada mereka, ‘Mengapa kamu membalas kebaikan dengan kejahatan? Mengapa kamu mencuri piala perak tuanku?s Piala itu dipakainya untuk minum dan sebagai alat meramal. Kamu sudah melakukan jenayah besar!’”
Apabila hamba itu sampai kepada saudara-saudara Yusuf, dia mengatakan apa yang diperintahkan Yusuf. Mereka menjawab hamba itu, “Apakah maksud tuan? Kami bersumpah tidak berbuat begitu! Tuan pun tahu bahawa wang yang kami dapati di atas gandum di dalam karung kami, sudah kami bawa dari tanah Kanaan dan kami kembalikan kepada tuan. Oleh itu tidak mungkin kami mencuri perak atau emas dari rumah gabenor! Tuan, sekiranya salah seorang daripada kami didapati mempunyai benda itu, biarlah dia dihukum mati dan kami semua menjadi abdi tuan.”
10 Hamba itu berkata, “Baiklah, tetapi hanya orang yang didapati mempunyai piala itu akan menjadi abdiku; yang lain boleh pergi.” 11 Oleh itu dengan cepat mereka menurunkan dan membuka karung masing-masing. 12 Hamba Yusuf itu memeriksa karung-karung itu dengan teliti, mulai dari karung kepunyaan yang sulung sampai kepada karung kepunyaan yang bongsu. Piala itu didapati di dalam karung Benyamin. 13 Abang-abang Benyamin sangat sedih sehingga mereka mengoyakkan pakaian. Mereka memuati semula keldai lalu kembali ke kota.
14 Yusuf masih ada di rumah apabila Yehuda dan saudara-saudaranya sampai. Mereka bersujud di hadapannya, 15 lalu Yusuf berkata, “Apakah yang sudah kamu lakukan? Tidak tahukah kamu bahawa orang seperti aku ini pandai meramal dan dapat mengetahui perbuatan kamu?”
16 Yehuda menjawab, “Apakah yang dapat kami katakan, tuan? Bagaimana kami dapat membantah dan membela diri? Allah sudah mendedahkan kesalahan kami. Sekarang kami semua menjadi abdi tuan, dan bukan hanya orang yang didapati mempunyai piala itu.”
17 Yusuf berkata, “Tidak! Aku tidak mahu berbuat begitu! Hanya orang yang didapati mempunyai piala itu akan menjadi abdiku. Kamu yang lain boleh pulang dengan selamat kepada bapa kamu.”
Yehuda Membela Benyamin
18 Yehuda maju mendekati Yusuf dan berkata, “Tolonglah, tuan. Benarkanlah saya berkata lagi. Janganlah marah kepada saya; tuan seperti raja Mesir sendiri. 19 Tuan sudah bertanya kepada kami, ‘Adakah kamu masih mempunyai bapa atau adik lelaki lain?’ 20 Kami menjawab, ‘Bapa kami sudah tua dan adik kami dilahirkan ketika bapa kami telah lanjut usia. Abang seibu adik kami itu sudah meninggal, lalu sekarang hanya dia yang masih hidup, dan ayah sangat menyayangi dia.’ 21 Tuan menyuruh kami membawa dia ke sini supaya tuan dapat melihatnya, 22 lalu kami menjawab bahawa anak itu tidak dapat berpisah daripada bapanya; jika dia berpisah daripadanya, bapanya akan meninggal. 23 Kemudian tuan berkata, ‘Kamu tidak boleh menghadap aku lagi jika tidak membawa adik bongsu kamu.’
24 Apabila kami kembali kepada bapa kami, kami sampaikan kata-kata tuan itu kepadanya. 25 Kemudian bapa kami menyuruh kami datang lagi ke sini untuk membeli makanan. 26 Kami menjawab, ‘Kami tidak dapat pergi ke sana, kerana kami tidak boleh menghadap gabenor jika adik kami yang bongsu tidak ikut. Kami hanya dapat pergi jika dia ikut bersama dengan kami.’ 27 Kemudian bapa kami berkata, ‘Kamu tahu bahawa isteriku Rahel, hanya mempunyai dua orang anak lelaki. 28 Seorang sudah meninggalkan aku. Dia tentu telah diterkam binatang buas, kerana sejak itu aku tidak bertemu dengan dia lagi. 29 Jika kamu mengambil anak bongsu ini daripadaku, dan sekiranya ada sesuatu perkara berlaku kepadanya, kesedihan yang kamu datangkan kepadaku itu akan mengakibatkan kematianku, kerana aku sudah tua.’”
30-31 Yehuda berkata kepada Yusuf, “Oleh itu, jika saya kembali kepada bapa saya tanpa anak itu, tentu bapa saya akan meninggal. Nyawanya bergantung kepada anak itu, dan dia sudah sangat tua sehingga kesedihan yang kami datangkan kepadanya akan mengakibatkan kematiannya. 32 Lagipun, saya sudah berjanji kepada bapa saya bahawa saya akan menjadi penjamin anak itu. Saya berkata kepadanya bahawa jika saya tidak membawa anak itu kembali kepadanya, sayalah yang akan menanggung kesalahan itu selama-lamanya. 33 Oleh itu, saya mohon supaya dibenarkan tinggal di sini sebagai abdi tuan untuk menggantikan anak ini. Biarlah dia pulang bersama dengan abang-abangnya. 34 Bagaimanakah saya dapat balik kepada bapa saya jika anak itu tidak bersama dengan saya? Saya tidak sanggup melihat malapetaka itu menimpa bapa saya.”
s 44:5 Sebuah terjemahan kuno: Mengapa kamu mencuri piala tuanku? Dalam bahasa Ibrani, perkataan itu tidak ada.