Yusuf dan Isteri Potifar
39
1 Yusuf telah dibawa ke Mesir oleh orang Ismael, lalu dijual kepada Potifar, seorang pegawai raja yang menjadi ketua pengawal istana.
2 TUHAN menolong Yusuf sehingga dia selalu berjaya dalam segala pekerjaannya. Dia tinggal di rumah tuannya, orang Mesir itu.
3 Tuannya melihat bahawa TUHAN menolong Yusuf dan memberi dia kejayaan dalam segala yang dilakukannya.
4 Potifar suka kepada Yusuf dan melantik dia sebagai pelayan peribadinya; lalu Potifar memberikan tugas kepada Yusuf untuk mengurus rumah tangganya dan segala kepunyaannya.
5 Sejak itu, demi Yusuf, TUHAN memberkati rumah tangga orang Mesir itu dan segala sesuatu yang dimilikinya, baik yang di rumah mahupun yang di ladang.
6 Segala sesuatu yang dimiliki Potifar dipercayakannya kepada Yusuf. Dengan demikian Potifar sama sekali tidak risau tentang urusan rumahnya, kecuali makanannya.
Yusuf berbadan segak dan kacak.
7 Beberapa lama kemudian, isteri Potifar mula berahi terhadap Yusuf. Lalu dia mengajak pemuda itu tidur bersama dengan dia.
8 Yusuf tidak mahu dan berkata kepadanya, “Maaf, puan, Tuan Potifar sudah mempercayakan segala miliknya kepada saya. Dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi di rumah ini.
9 Kuasa saya sama besar dengan kuasanya di dalam rumah ini. Tiada sesuatu pun yang tidak dipercayakannya kepada saya kecuali puan. Bagaimana mungkin saya melakukan perbuatan sejahat itu dan berdosa terhadap Allah?”
10 Meskipun isteri Potifar membujuk Yusuf setiap hari, pemuda itu tetap tidak mahu tidur bersama dengan dia.
11 Pada suatu hari, ketika Yusuf masuk ke dalam rumah untuk melakukan pekerjaannya, tiada seorang pelayan pun berada di situ.
12 Kemudian isteri Potifar menarik jubah Yusuf dan berkata, “Marilah kita tidur bersama.” Yusuf meronta hingga dapat lepas, lalu lari ke luar, tetapi jubahnya tertinggal di tangan perempuan itu.
13 Apabila isteri Potifar sedar bahawa Yusuf sudah lari dan jubahnya tertinggal,
14 dia memanggil pelayan-pelayannya dan berkata, “Lihatlah! Orang Ibrani yang dibawa suamiku ke rumah ini menghina kita. Dia masuk ke dalam bilikku dan cuba merogol aku, tetapi aku menjerit.
15 Apabila dia mendengar jeritanku, dia lari ke luar tetapi jubahnya tertinggal.”
16 Isteri Potifar menyimpan jubah itu sehingga suaminya pulang.
17 Apabila suaminya pulang, dia segera memberitahukan cerita yang sama kepadanya. Dia berkata, “Hamba Ibrani itu yang kaubawa ke sini, masuk ke dalam bilik untuk menghina aku.
18 Namun apabila aku menjerit, dia lari ke luar tetapi jubahnya tertinggal.”
19 Potifar sangat marah.
20 Dia memerintahkan supaya Yusuf segera ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara, tempat orang tahanan raja dikurung, maka di situlah Yusuf tinggal.
21 Tetapi TUHAN menolong Yusuf dan tetap mengasihinya, sehingga ketua penjara suka kepadanya.
22 Dia mempercayakan orang tahanan yang lain kepada Yusuf. Dia juga memberikan tanggungjawab kepada Yusuf atas segala pekerjaan yang dilakukan di dalam penjara.
23 Ketua penjara itu tidak lagi mengawasi segala yang dipercayakannya kepada Yusuf, kerana TUHAN menyertai Yusuf sehingga dia berjaya dalam semua pekerjaannya.