Menara Babel
11
1 Pada mulanya, orang di seluruh dunia hanya mempunyai satu bahasa dan mereka menggunakan kata-kata yang sama.
2 Apabila mereka mengembara ke sebelah timur, mereka tiba di suatu dataran di Babilonia, lalu menetap di situ.
3 Mereka bercakap sesama sendiri, “Mari kita membuat batu bata dan membakarnya sampai keras.” Demikianlah mereka mempunyai batu bata untuk dijadikan bahan binaan, serta tar sebagai bahan pelekat.
4 Mereka berkata, “Mari kita bina kota dengan sebuah menara yang puncaknya sampai ke langit, supaya kita termasyhur dan tidak tercerai-cerai di seluruh bumi.”
5 Kemudian TUHAN turun untuk melihat kota dan menara yang dibina oleh manusia.
6 Dia berfirman, “Mereka ini satu bangsa dengan satu bahasa, dan hal ini baru permulaan rancangan mereka. Tidak lama lagi mereka akan sanggup melakukan apa sahaja yang dikehendaki mereka.
7 Marilah Kita turun dan kacau bahasa mereka supaya mereka tidak memahami satu sama lain.”
8 Demikianlah TUHAN mencerai-beraikan mereka ke seluruh bumi. Maka mereka berhenti membina kota itu.
9 Kota itu dinamakan Babel kerana di situlah TUHAN mengacau bahasa manusia, dan dari situlah TUHAN mencerai-beraikan manusia ke seluruh bumi.
Keturunan Sem
(1 Taw 1.24-27)
10 Inilah keturunan Sem. Dua tahun selepas banjir itu, ketika Sem berumur 100 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Arpakhsad.
11 Selepas itu, Sem hidup selama 500 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.
12 Ketika Arpakhsad berumur 35 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Selah.
13 Selepas itu Arpakhsad hidup selama 403 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.
14 Ketika Selah berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Eber.
15 Selepas itu Selah hidup selama 403 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.
16 Ketika Eber berumur 34 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Peleg.
17 Selepas itu Eber hidup selama 430 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.
18 Ketika Peleg berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Reu.
19 Selepas itu Peleg hidup selama 209 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.
20 Ketika Reu berumur 32 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Serug.
21 Selepas itu Reu hidup selama 207 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.
22 Ketika Serug berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Nahor.
23 Selepas itu Serug hidup selama 200 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.
24 Ketika Nahor berumur 29 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Terah.
25 Selepas itu Nahor hidup selama 119 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.
26 Ketika Terah berumur 70 tahun, dia mendapat tiga orang anak lelaki, iaitu Abram, Nahor, dan Haran.
Keturunan Terah
27 Inilah keturunan Terah. Terah ialah bapa Abram, Nahor, dan Haran. Haran mempunyai seorang anak lelaki bernama Lot.
28 Haran meninggal di Ur, kampung halamannya di Babilonia, ketika bapanya masih hidup.
29 Abram berkahwin dengan Sarai, dan Nahor berkahwin dengan Milka, anak perempuan Haran. Haran mempunyai anak lelaki lain bernama Yiska.
30 Sarai tidak mempunyai anak kerana dia mandul.
31 Terah meninggalkan kota Ur di Babilonia bersama dengan Abram anaknya, Lot cucunya, dan Sarai menantunya, iaitu isteri Abram. Terah bermaksud pergi ke negeri Kanaan tetapi setibanya di Haran, mereka menetap di sana.
32 Di tempat itu Terah meninggal ketika berumur 205 tahun.